Jadikan Rasulullah sebagai ikon untuk berjaya
SINTOK, 30 Oktober 2024 – Mengangkat tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”, Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perhimpunan Bulanan Staf bergema dengan alunan selawat dan qasidah, di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya menjadikan keperibadian nabi junjungan sebagai tonggak akhlak diri kita.
“Bukti kecintaan dan kerinduan kita kepada baginda SAW tidak cukup hanya dengan mengingati tarikh, berarak dan zikir selawat semata-mata. Jadikan sifat Rasulullah SAW sebagai syarat untuk berjaya baik kejayaan dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat dan organisasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud;
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharap (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat dan banyak menyebut serta mengingati Allah (dalam masa susah dan senang)
“Bagaimana dengan diri kita, adakah kita menjadikan keperibadian Rasulullah sebagai akhlak kita terutama dalam menjalani ibadah seharian?” soalnya.
Jelasnya, lahirnya seorang manusia agung bernama Muhammad ini sebagai pedoman untuk umatnya. Perjalanan baginda sejak mula lahir sudah pun dipenuhi dengan pelbagai dugaan dan cabaran.
Allah SWT telah merintis jalan untuk baginda lalui sehinggalah umurnya mencecah 40 tahun maka turunlah wahyu membuka lembaran kebenaran. Baginda berjaya membangunkan syiar agama dan mengangkat al-Quran sebagai sebuah kitab suci yang menjadi panduan.
Katanya, Nabi Muhammad SAW merupakan seorang tokoh agung. Sifatnya yang jujur dan amanah penuh dengan sifat integriti sehingga digelar al-Amin.
“Apa pun peranan kita sama ada sebagai staf atau pelajar, kita hendaklah menanam sifat yang mulia. Jadikan Rasulullah sebagai ikon dan idola dalam perjuangan menuntut ilmu dan menabur bakti. Lihatlah bagaimana kesabaran nabi, komitmen tinggi baginda untuk mengubah umatnya.
“Kita diamanahkan dengan tanggungjawab yang besar untuk membangun dan memajukan universiti mengikut acuan dan peranan masing-masing. Justeru, sikap dan akhlak kita seharusnya mengambil contoh dan ibrah daripada sifat integriti dan keperibadian unggul Rasulullah.
“Tugas hakiki seharian kita dalam universiti ini adalah satu ibadah. Kita memperolehi rezeki daripada pengorbanan masa serta keringat untuk kita kongsikan dengan ahli keluarga. Justeru, sangat penting untuk kita menekuni setiap inci tanggungjawab yang diamanahkan agar kehidupan sentiasa diberkati,” ujarnya.
Menurutnya, inilah yang diajar oleh nabi junjungan. Sifat baginda yang jujur, amanah, bijaksana dan benar adalah ciri-ciri integriti yang wajib diserapkan dalam setiap tindakan demi memastikan UUM terus cemerlang.
“Kita bersyukur, kerana pencapaian UUM hari ini banyak bertitik tolak daripada kecekapan serta kemahiran semua pihak dalam mengurus universiti. Namun, ilmu dan kemahiran yang tidak disertai dengan akhlak yang baik, boleh menjerumus kita ke lembah kebinasaan sekelip mata.
“Sifat negatif seperti tidak jujur, tidak amanah, hasad dengki dan tamak sangat dilarang oleh Rasulullah SAW kerana boleh meruntuhkan organisasi,” ujarnya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada para pemenang serta penghargaan kepada para juri, kontinjen serta semua pihak yang terlibat terutamanya Pusat Islam dan UUM Press sebagai tuan rumah dalam menjayakan acara ini.
Majlis dimeriahkan dengan pergerakan kontinjen selawat, alunan nasyid dan selawat serta Tausiyah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amir Arsalan.