Generasi muda perlu hayati Ilmu Budi Bakti
SINTOK, 30 Oktober 2024 – Generasi muda UUM perlu menghayati roh di sebalik moto Ilmu Budi Bakti, mengemudi kefahaman dan semangat kesepunyaan nilai tersebut perlu dikukuhkan dalam kalangan staf dan pelajar.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, konsep ini perlu ditransformasikan kepada penghayatan yang jitu dan terangkum yang membantu mencorakkan kepimpinan yang padu sekali gus mempunyai identiti lokal.
“Saya yakin dengan pengisian program yang disediakan akan menghasilkan output dan resolusi yang akan direalisasikan dalam pelbagai bentuk dan program bagi tujuan mengukuhkan lagi kefahaman dan penghayatan.
“Pelbagai pendekatan untuk menghidupkan dan menjiwai moto UUM, salah satu kaedah yang dicadangkan ialah On boarding,” ujarnya pada program Dinamika ILMU BUDI BAKTI (IBB) UUM 40 Tahun, anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) dan Pusat Alumni UUM, dengan kerjasama Jabatan Canselori dan Majlis Profesor UUM.
Ujarnya, inspirasi penganjuran program ini untuk membangkitkan kembali aura dan jiwa pembudayaan moto UUM iaitu Ilmu Budi Bakti dalam kerjaya dan tugas warga UUM. Warga UUM perlu menghayati dan mengaplikasikan nilai Ilmu Budi Bakti secara holistik dalam semua aspek kehidupan bagi menjadi warga UUM yang cemerlang.
“Moto UUM bukanlah hanya retorik semata-mata. Ia dibina berasaskan prinsip kemanusiaan yang diacuankan mewarnai kehidupan manusia. Ilmu Budi Bakti adalah tiga istilah yang membawa maksud berbeza.
“Walau bagaimanapun, ketiga-tiga perkataan ini mempunyai perkaitan rapat dalam konteks muamalat. Tanpa ilmu, amalan budi dan bakti tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Tanpa budi dan bakti, maka ilmu yang dituntut adalah sia-sia belaka dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada diri sendiri dan kepada masyarakat.
“Ini bermakna punca segala-gala amal kebaikan adalah lahir daripada ilmu pengetahuan. Orang yang berilmu tak semestinya beradab, namun orang beradab pastinya berilmu,” ucapnya di Pusat Konvensyen, pagi tadi.
Walau bagaimanapun katanya, setelah 40 tahun penubuhan UUM dan di sebalik kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh UUM, berdasarkan tinjauan ringkas secara dalam talian oleh IPDM, mendapati bahawa pengetahuan dan kefahaman dalam kalangan warga UUM tentang penghayatan nilai Ilmu Budi Bakti dan semangat kesepunyaan untuk merealisasikan teras objektif UUM masih longgar.
“Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh kelompongan warga UUM menjiwai pengertian sebenar nilai Ilmu Budi Bakti. Oleh itu, gerak kerja untuk “walk the talk” moto dan perlakuan warga UUM perlu disenergi dan ditransformasi secara tuntas agar misi dan visi UUM dapat dicapai secara komprehensif,” tambahnya.
Forum menjemput barisan panel terdiri daripada Mantan Naib Canselor UUM, Profesor Emeritus Dato’ Wira Ir. Dr. Md. Noor Salleh, Mantan Timbalan Pendaftar UUM Dato’ Abu Seman Awang, Pengurus Kecemasan dan Krisis, Petroliam Nasional Berhad, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan (B), Pengasas Oscar Wealth Advisory Sdn. Bhd, Dr. Chung Muh Sha.