Kursus Pertolongan Cemas, Asas Latihan CPR dan AED
SINTOK, 11 November 2024 – Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Kursus Pertolongan Cemas, Asas Latihan CPR dan AED” bertempat di Dewan Seminar A Pusat Konvensyen, baru-baru ini.
Kursus ini telah dianjurkan oleh RMD dengan kerjasama Unit Latihan Jabatan Sumber Manusia dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Kursus ini disertai 27 pelajar universiti yang mewakili setiap Inasis. Keesokannya kursus ini diteruskan buat 25 staf yang dipimpin oleh pegawai terlatih daripada PBSM.
Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko UUM, Shahrul Nizam Ahmad menekankan kepentingan kemahiran pertolongan cemas dalam kehidupan seharian dan bagaimana ia dapat menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan terutamanya dalam situasi berhadapan pelbagai cabaran dalam kampus.
“Pelbagai tajuk penting telah dibincangkan sepanjang kursus ini termasuk cara menguruskan insiden, luka dan pendarahan, renjatan, terbakar dan melecur, patah dan terkehel, Asfiksia, Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), serta asas penggunaan Defibrilator luaran dan kecemasan (AED).
“Satu ujian kefahaman telah diadakan bagi melayakkan peserta untuk mendapat sijil,” ujarnya.
Para peserta kursus rata-rata menyatakan penghargaan mereka atas pengetahuan berharga yang telah mereka perolehi dan berharap agar lebih banyak kursus seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan untuk meningkatkan kesedaran dan kemahiran pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat kampus.