Pembelajaran sepanjang hayat perkasakan modal insan
SINTOK, 14 November 2024 – Pembelajaran sepanjang hayat bukan sekadar pilihan, tetapi suatu keperluan dalam dunia yang sentiasa berubah dan berkembang.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ilmu dan kemahiran yang diperoleh di universiti hanyalah asas.
“Di UUM kita percaya bahawa ilmu adalah satu cahaya yang tidak akan padam, atau seperti air yang diperlukan oleh semua termasuk manusia, tumbuhan dan haiwan.
“Ingatlah bahawa proses pembelajaran tidak semestinya berlaku di dalam kelas atau dewan kuliah. Di luar sana, di dunia sebenar, pembelajaran berlaku dalam setiap pengalaman, setiap interaksi, dan setiap cabaran yang dihadapi.
“Teruslah berusaha untuk menjadi lebih baik, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk keluarga, masyarakat, dan negara,” katanya.
Ujarnya, pembelajaran sepanjang hayat juga membantu seseorang untuk terus berkembang sebagai individu dan membuka pintu kepada pengetahuan dan pengalaman baru serta perspektif yang berbeza.
Pembelajaran sepanjang hayat juga membantu meningkatkan keyakinan diri dan memberi seseorang keupayaan untuk menghadapi cabaran hidup dengan lebih cemerlang melalui peningkatan kemahiran dan pengalaman dalam bidang tertentu. Malah boleh menjadikan seseorang itu pakar dalam bidang yang diceburinya.
Untuk itu katanya, UUM bersedia menjadi suatu segmen pendidikan tinggi yang memberi ruang kepada mereka yang mahu meneruskan pengajian dan melengkapkan diri dengan kemahiran baharu atau memperbaharui kemahiran lama bagi meningkat nilai keunggulan diri dan hala tuju yang tersendiri.
Justeru, UUM menyusun kursus berkaitan pengurusan yang relevan untuk ditawarkan agar ia benar-benar memenuhi kehendak dan keperluan majikan. Modul pembelajaran bersifat ekonomik serta dapat memupuk minat dan menyemai bakat individu untuk kehidupan yang lebih bermakna.
Selain itu katanya, peningkatan berterusan juga membantu meningkatkan daya saing seseorang di pasaran kerja.
“Dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif, majikan semakin mencari pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman yang khusus dalam bidang tertentu.
“Oleh itu, peningkatan berterusan menjadi penting untuk memastikan seseorang mempunyai kebolehan yang diingini oleh majikan,” ucapnya sempena Majlis Konvokesyen ke-37 Universiti Utara Malaysia, Sesi Kesembilan di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.
Beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua graduan bagi sesi terakhir Majlis Konvokesyen Ke-37 yang disifatkan sebagai sangat istimewa.
“Seramai 807 graduan Sarjana Muda daripada UUM Kolej Sastera dan Sains, UUM Kolej Perniagaan dan UUM Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa. Semua bernaung di bawah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) UUM selain 77 graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.