Campus

Graduan EDBM miliki semangat juang yang tinggi

SINTOK, 14 November 2024 – Graduan EDBM mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika menempuh perjalanan kuliah secara di atas talian (online) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 pada ketika itu.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, beliau amat terharu di atas semangat membara ketika berdepan dengan kaedah pembelajaran secara bersemuka kepada maya bermula bulan Ogos 2020.

“Tentu anda masih lagi ingat, suasana pembelajaran yang sangat mencabar semasa kaedah ‘online’ dimulakan.

“Terdapat pelbagai cabaran seperti masalah internet, penyediaan video pembentangan, peperiksaan secara online dan dugaan ketika menempuh kaedah pembelajaran dan pengajaran secara atas talian ini. Tetapi akhirnya anda semua berjaya mengharungi cabaran tersebut,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan (EDBM), di EDC-UUM, malam tadi.

Ujarnya, seramai 77 graduan EDBM berjaya menamatkan pengajian dan seramai 52   graduan EDBM bakal menaiki pentas Konvokesyen  pada sesi ke-9.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan kerana hasil usaha dan perjuangan anda dalam menuntut ilmu sejak 2 tahun yang lalu kini telah membuahkan hasil.

“Pastinya bekerja dan belajar pada masa yang sama bukanlah perkara yang mudah terutamanya apabila perlu menghabiskan kursus yang diikuti dalam tempoh yang amat singkat.

Namun, semua itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana akhirnya anda semua telah tiba ke garisan penamat,” ucapnya ketika meraikan graduan.

Beliau percaya, keinginan graduan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan bertitik tolak kepada inisiatif untuk meningkatkan prestasi kerja di samping keinginan   menguasai kemahiran tertentu dalam bidang pengurusan perniagaan.

Tambahnya, cabaran yang ada di luar sana adalah tidak dapat dijangka. Hanya dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang terkini akan memastikan diri masing-masing akan terus kekal relevan dengan kehendak pasaran.

Sementara itu, wakil pelajar, Syed Afiq Syed Alwee menyifatkan peralihan daripada kelas dan exam secara dalam talian kepada fizikal bukanlah proses yang mudah.

“Bermulanya kita semua adalah orientasi secara dalam talian, kelas dan kita jawab exam pun dalam talian. Bagi memenuhi akreditasi MQA, beberapa kelas dan  peperiksaan memerlukan kita hadir secara fizikal di pusat Angkasa Training Centre (ATC) yang terdekat di negeri masing-masing.

“Walau apa jua cabaran yang dihadapi, semua cabaran tersebut berjaya diharungi   hasil usaha masing-masing serta sokongan bantuan pihak pensyarah dan   pengurusan ATC yang tidak pernah jemu menjawab pelbagai persoalan dan isu yang dibangkitkan oleh   pelajar melalui aplikasi zoom, dan WhatsApp.

Beliau merakamkan dedikasi dan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada para pensyarah SBM yang dipimpin oleh  Dekan SBM, Pengerusi  Program EDBM, Dr. Tunku Nur Atikhah Tunku Abaidah  dan mantan Pengerusi Program EDBM, Dr. Khairol Anuar Ishak.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button