UUM COLGIS terima kemasukan 52 pelajar baharu pascasiswazah
Gambar Nur Farzana Fuad
SINTOK, 18 November 2024: Kehadiran 52 pelajar baharu pascasiswazah di UUM COLGIS bagi kemasukan trimester pertama sesi 2024/2025 (Sesi A241) mengukuhkan lagi komuniti akademik kampus.
Daripada jumlah itu, 36 pelajar adalah dari Malaysia, manakala 16 lagi dari pelbagai negara yang membawa bersama kepelbagaian budaya dan pengalaman.
Satu sesi taklimat pendaftaran dan pengajian telah diadakan secara bersemuka pada 11 September lalu bagi menyambut kedatangan pelajar baharu ini.
Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Prof. Dr. Rusdi Omar mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu UUM COLGIS ke UUM dan mengucapkan tahniah kerana memilih universiti ini untuk melanjutkan pengajian.
Beliau turut menerangkan kepentingan bagi pelajar baharu untuk memanfaatkan peluang ini dalam meneroka perkara baharu, mengambil tanggungjawab penuh terhadap pembelajaran mereka serta menghargai perbezaan budaya dengan bergaul bersama pelajar dari pelbagai negara.
“Jadikan pengajian di UUM ini sebagai satu perjalanan yang mencabar tetapi menarik. Rebut peluang ini untuk belajar dan memperolehi pengetahuan baru, sekali gus membangunkan kemahiran baru serta meningkatkan sifat keperibadian yang baik,” katanya.
Pelajar juga dimaklumkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran untuk trimester ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara bersemuka.
Sementara itu, Timbalan Dekan GSGSG, Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis menzahirkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada pelajar baharu di bumi Sintok bagi melanjutkan pengajian pascasiswazah.
Beliau turut menyampaikan taklimat akademik manakala penyelaras dari setiap pusat pengajian di UUM COLGIS memberi penerangan mendalam berkenaan program yang ditawarkan.
Pustakawan Kanan, Wan Hanis Kamarruddin dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) turut memberi taklimat kepada pelajar baharu mengenai kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh PSB, sementara Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Mohd Solehhuddin Ab Mutalib dari UUMIT menyampaikan penerangan tentang penggunaan Portal UUM. – Mohammad Hamiz Haqim Ibrahim