PDU bakal adakan peperiksaan HSK setiap semester
Gambar Unit Pembangunan Profesional (PDU)
SINTOK, 18 November 2024: Unit Pembangunan Profesional (PDU), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menganjurkan Chinese Proficiency Test HSK (Level 1) pada 16 November lalu dengan penglibatan seramai 100 calon yang terdiri daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).
Peperiksaan ini adalah hasil kerjasama bersama Institut Kong Zi, Universiti Malaya.
Pengurus PDU, Dr. Noor Asbahan Shahizan berkata, Chinese Proficiency Test atau HSK (Hanyu Shuiping Kaoshi) merupakan satu peperiksaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk mengukur tahap kemahiran Bahasa Mandarin.
Menurutnya, peperiksaan ini direka khusus bagi penutur bukan asli Bahasa Mandarin, termasuk pelajar yang mempelajari bahasa ini sebagai bahasa asing. HSK menjadi satu ukuran penting dalam menilai sejauh mana kefasihan seseorang individu dalam menggunakan Bahasa Mandarin.
“Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pelajar, PDU bercadang untuk menawarkan peperiksaan HSK ini pada setiap semester,” katanya.
Sebelum menduduki peperiksaan HSK, pelajar telah didedahkan dengan teknik menjawab peperiksaan yang telah diadakan pada 5, 6, 7 dan 10 November di DKG 3/7. Bengkel yang diadakan selama 4 hari ini telah dikendalikan oleh dua orang Guru Bahasa Mandarin dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) iaitu Tan Pin Wooi dan Huang Jun.
Objektif bengkel ini adalah bagi memberi peluang kepada pelajar untuk meneliti semula topik yang telah dipelajari serta mengukuhkan pemahaman mereka.
Sementara itu, pelajar, Munira Miasin berkata, bengkel ini banyak membantu pelajar dalam memantapkan kemahiran, terutamanya dalam aspek yang memerlukan penjelasan lanjut atau latihan tambahan.
“Dengan bimbingan terus daripada laoshi, pelajar lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kerana kami dapat mengatasi kelemahan yang dikenal pasti.
“Dengan kemahiran Bahasa Mandarin yang semakin diperlukan dalam pasaran global, sijil HSK mampu memberikan kelebihan kompetitif dalam kerjaya dan pendidikan para graduan pada masa kini,” katanya.
Sijil HSK dilihat dapat menjadi nilai tambah kepada kebolehpasaran pelajar di alam pekerjaan kelak. – Dalila Ishak