PERNAS tinjau kiosk pandan cendol pelajar BEST-BYOB RHB Islamik
Gambar PPKS
SINTOK, 19 November 2024: Wakil Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) telah mengadakan lawatan ke kiosk pandan cendol yang diusahakan oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Program B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (BEST-BYOB) RHB Islamik, PERNAS dan UUM di Inapan Siswa (INASIS) BSN.
Pengarah PPKS, Khairul Anuar Adnan berkata, program pra-francais ini merupakan hasil kerjasama antara RHB Islamic Bank, PERNAS dan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) yang bertujuan untuk membantu pelajar daripada golongan B40 dan asnaf memulakan perniagaan dan membina rangkaian keusahawanan sebagai persediaan setelah menamatkan pengajian.
Lawatan ini disertai oleh Ketua Jabatan Rekabentuk & Pembangunan Program, PERNAS Academy, Dr. Hafizi Sulaiman dan Ketua Penyelarasan Program Outreach PERNAS, Mohd Fuad Halim bagi meninjau serta menikmati menu utama yang disediakan iaitu cendol berasaskan pandan asli serta menu sampingan yang mendapat sambutan menggalakkan iaitu mee goreng.
Program ini bukan sahaja bermatlamat membangunkan kemahiran keusahawanan praktikal pelajar, tetapi juga membantu mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti B40 dan asnaf.
Hadir sama Pengarah Pusat Islam UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.
Sebelum lawatan tinjauan, satu sesi perbincangan meja bulat (RTD) telah berlangsung di Anjung Tamu, UUM bagi membincangkan hala tuju program keusahawanan pra-francais siswa serta pelaksanaan Business in Transformation Franchise (BIT) dengan matlamat melahirkan usahawan pelajar yang berdaya tahan dan inovatif.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan untuk mengukuhkan ekosistem keusahawanan pelajar di UUM, di samping memperkasakan program francais sebagai alat pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
Turut hadir ialah Penyelaras PPKS, Syahrina Abdullah dan wakil Pusat Islam, Muhammad Kamil Yazid. – Siti Aishah Adanan