EMZI Holdings sumbang RM10,000 untuk Food Bank Centre UUM
Berita dan gambar Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD)
SINTOK, 19 November 2024: Delegasi daripada EMZI Holding Sdn. Bhd. telah menyampaikan cek cura sumbangan barangan bernilai RM10,000 kepada Food Bank Centre, Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Cek cura tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan, Abdul Fattah Md. Eusoff kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi di Bilik Mesyuarat Utama JHEP.
Abdul Fattah pada majlis tersebut menzahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada UUM kerana memberi peluang kepada EMZI Holding untuk turut serta membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, sekali gus menjadikan sumbangan ini sebagai suatu bentuk aktiviti bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
EMZI Holding akan menyumbang barangan makanan bernilai RM1,000 pada setiap bulan selama 10 bulan, bermula pada bulan Oktober baru-baru ini.
Sementara itu, Muhammad Iskandar Zulkarnain berkata, JHEP mengalu-alukan penglibatan EMZI Holding dan mana-mana organisasi lain dalam aktiviti atau program yang menyumbang kepada kebajikan pelajar UUM.
“Selain barangan makanan, kita juga mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk lain seperti barangan keperluan peribadi, atau komputer riba dan sebagainya untuk diberikan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.