UUM terima tajaan RM51,000 Program CPD Seminar Asas Pengurusan Harta Tanah
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 2 Disember 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima tajaan berjumlah RM51,000 bagi Program CPD Seminar Asas Pengurusan Harta Tanah (Pengurusan Strata) di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM dan Malaysian Institute of Property And Facility Managers (MIPFM) telah merancang untuk menganjurkan CPD Seminar Fundamental of Property Management di mana kursus ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, UUM melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menjalin hubungan strategik dan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan pihak MIPFM.
“Justeru, saya berterima kasih kepada Pusat Zakat dan Wakaf, UUM, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang sudi memberi sumbangan penajaan ini.
“Dengan adanya tajaan ini, peserta kursus terdiri pelajar B40 dan pelajar asnaf tahun akhir UUM daripada pelbagai program pengajian akan menerima manfaat apabila bergraduat nanti,” katanya.
Dr. Mohd Foad berkata, kursus ini juga akan menjadi nilai tambah kepada pelajar bagi membantu mereka membina kerjaya dalam industri hartanah.
Menurutnya, sijil kursus akan dikeluarkan oleh pihak MIPFM dengan mata CPD daripada pihak Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus (LPPEH) Malaysia yang boleh dijadikan sebagai nilai tambah dan kebolehpasaran kepada kompetensi pelajar dan peserta.
Beliau mendoakan agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk terus menyumbang kepada bangsa, agama dan negara.
Hadir sama, Ketua Jabatan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Zaharudin Alias; Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr Dr. Mohamad Sukeri Khalid dan Timbalan Pengarah Pusat Zakat and Wakaf, UUM, Dr. Mohamad Zulkarnai Ghazali.