Sukarelawan UUM didedahkan cara menguruskan jenazah
Gambar dan berita Aus Korni Yahaya
SINTOK, 22 Disember 2024: Pengurusan jenazah adalah satu fardhu kifayah dan wajib dipelajari dan difahami secara teori dan praktikal oleh semua umat Islam.
Pusat Islam dengan kerjasama Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Siri 2 kepada 60 kakitangan UUM di Bilik Kuliah Masjid Sultan Badlishah pada 17 Disember lalu.
Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, tujuan diadakan kursus seumpama ini adalah bagi memberi pendedahan kemahiran pengurusan jenazah kepada sukarelawan yang mendaftar dengan Pusat Islam serta kepada semua staf UUM yang berminat.
Menurutnya, selain meningkatkan ilmu berkaitan pengurusan jenazah, kursus ini juga sebagai inisiatif dalam memberi kesedaran terhadap tanggungjawab fardu kifayah kepada peserta.
“Semoga Kursus Pengurusan Jenazah ini mampu menjadi platfrom dan mutiara berharga kepada peserta menyuburkan tanggungjawab fardu kifayah, sekali gus menggalakkan penglibatan dalam pengurusan jenazah kepada komuniti masing-masing,” katanya.
Program diteruskan dengan praktikal pengurusan jenazah secara berkumpulan yang merangkumi tatacara mandi, proses kafan dan solat jenazah.
Peserta dibahagi kepada dua bahagian iaitu peserta lelaki dipimpin oleh Syahril Fazli Mat Hussain dan peserta wanita dipimpin oleh Dakina Zakaria, manakala Mohd Firdaus Ahmat yang mengajar tatacara mengerjakan solat jenazah dan juga mengendalikan sesi soal jawab.
Semoga Kursus Pengurusan Jenazah ini menjadi mutiara berharga kepada para peserta, sekali gus memberi pengalaman baharu buat mereka dalam menguruskan jenazah khasnya jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan.