Campus

SOE dekati pelajar SMK Bandar Bukit Kayu Hitam melalui SULAM

SINTOK, 22 Disember 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan inisiatifnya dengan mendekati dan memperkasa komuniti menerusi projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

Program Jelajah Kampus: Inspirasi Kejayaan Masa Depan yang diadakan baru-baru ini dianjurkan oleh pelajar Pendidikan Moral daripada kursus Projek Khidmat Komuniti, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM.

Pengarah Program, Toh Cin Soon berkata, program ini bertujuan bagi memberi pendedahan persekitaran universiti serta menggalakkan minat belajar kepada 60 pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, program ini adalah salah satu inisiatif pusat pengajian dalam menjalinkan khidmat bakti dengan pihak sekolah, selaras dengan visi universiti untuk melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.

“Lawatan ke universiti bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan tetapi juga menyuntik semangat dan motivasi dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Sepanjang program, seramai 21 mahasiswa UUM bertindak sebagai jawatankuasa program untuk mengendalikan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar SMK Bandar Bukit Kayu Hitam.

Program ini melibatkan aktiviti lawatan dan jelajah kampus bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia kampus dan suasana universiti. Aktiviti lain termasuklah sesi perkongsian pengalaman antara mahasiswa UUM dan pelajar sekolah, serta aktiviti berorientasikan motivasi belajar dan cita-cita masa depan.

Penasihat Program, Dr. Nurul Jawahir Md Ali berkata, program ini turut menjadi wahana untuk mahasiswa pendidikan memulangkan sesuatu kepada komuniti.

“Ia juga membina kemahiran kepimpinan, semangat kerjasama, serta kesediaan untuk berbakti kepada anak bangsa sebagai bakal pendidik kelak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), SoE, Prof. Madya Dr. Mohd Isha Awang menekankan kepentingan program sebegini dalam membentuk nilai positif dan membangunkan potensi pelajar.

Menurutnya, program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk mengenali dunia universiti, tetapi juga memupuk semangat untuk terus belajar dan mengimpikan masa depan yang lebih cerah.

Katanya, kerjasama seperti ini membuktikan komitmen UUM dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Bandar Bukit Kayu Hitam, Muhyiddin Omar menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama di antara universiti dan pihak sekolah, di samping menyuarakan harapan agar usaha sedemikian dapat diteruskan lagi. – Tang Rui Cong

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button