TISSA-UUM komited tingkat daya kepimpinan dan jati diri pelajar sekolah rendah di Kedah
SINTOK, 22 Disember 2024: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam pembangunan generasi muda melalui penganjuran program kepimpinan khas untuk pelajar sekolah rendah di Kedah.
Program yang berlangsung selama dua hari pada 19 dan 20 November lalu telah melibatkan 81 peserta yang terdiri daripada pelajar Tahun Enam dan pengawas sekolah dari beberapa sekolah di negeri ini.
Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup berkata, dengan kerjasama 18 fasilitator yang merupakan pelajar UUM serta Pusat Kaunseling UUM, program ini dirangka untuk memupuk daya kepimpinan, membentuk jati diri, serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan peserta.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik seperti latihan kerja berpasukan, simulasi kepimpinan, dan sesi motivasi interaktif telah dijalankan, memberi peluang kepada peserta untuk membina keyakinan diri dan memperkasakan kemahiran komunikasi mereka.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai, Huslina Mohd Hussain.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada TISSA-UUM atas komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang penganjuran program ini.
“Saya amat berbesar hati dengan usaha yang dilakukan oleh TISSA-UUM. Maklum balas daripada peserta sangat positif, dan mereka jelas memperoleh ilmu serta pengalaman bermakna melalui pengisian program ini.
“Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berketerampilan,” katanya.
Program ini turut mendapat sokongan kewangan daripada Pusat Zakat dan Wakaf UUM yang diwakili Timbalan Pengarah Pusat Zakat dan Waqaf, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali.
Dengan kejayaan program ini, TISSA-UUM berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan bakat generasi muda, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi rakan strategik kepada komuniti dalam usaha memupuk nilai kepimpinan yang unggul.