45 pelajar timba ilmu pengurusan kewangan melalui Program SoHK
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
SINTOK, 26 Mei 2025: Seramai 45 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai HLA Padawan di bawah program School of Hard Knocks (SoHK) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Penginapan Pelajar (SAC) dengan kerjasama Hong Leong Assurance (HLA).
Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti ini penting dalam membina kefahaman holistik dalam kalangan pelajar tentang pengurusan kewangan peribadi dan perlindungan kewangan.
Menurutnya, pendedahan seperti ini mampu membentuk sikap bertanggungjawab dan berdisiplin dalam hal kewangan sejak awal lagi.
“Program ini memberi penekanan kepada aspek pengurusan kewangan peribadi serta kepentingan perlindungan insurans, sejajar dengan matlamat untuk melahirkan graduan celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar,” katanya.
Pada sesi pagi, peserta telah menyaksikan tayangan tugasan video yang dihasilkan oleh kumpulan pelajar sendiri, bertemakan “Pengurusan Wang di Usia 20, 40, 60 dan 80 Tahun.” Tayangan ini mempamerkan pelbagai idea kreatif dan mesej mendalam tentang pentingnya membuat perancangan kewangan sejak usia muda sehingga ke usia emas.
Seterusnya, program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu oleh seorang ejen insurans bertauliah yang memberi penerangan jelas tentang jenis-jenis perlindungan kewangan seperti insurans hayat, insurans perubatan dan takaful, serta peranannya dalam memastikan keselamatan kewangan dalam kehidupan seharian.
Pada sebelah petang, pelajar mengikuti sesi “Dream Board Sharing” di mana setiap peserta diberi ruang untuk membentangkan papan impian kewangan masing-masing. Sesi ini memberi peluang kepada pelajar untuk berkongsi matlamat hidup mereka secara terbuka, selain melatih diri mereka untuk merancang masa depan secara sistematik dan berstrategi. Antara impian yang dikongsi termasuklah memiliki rumah sendiri, mencapai kebebasan kewangan, melabur secara bijak, dan menyediakan dana persaraan yang mencukupi.
Bagi menghargai usaha dan kreativiti para peserta dalam tugasan video, hadiah wang tunai telah diberikan kepada kumpulan terbaik, iaitu RM350 bagi tempat pertama, RM300 bagi tempat kedua, RM250 bagi tempat ketiga, dan RM200 bagi kategori saguhati. Inisiatif ini bukan sahaja menjadi platform pembelajaran yang berkesan, malah turut mencetuskan kesedaran mendalam tentang keperluan merancang kewangan dari awal usia dewasa.
Sementara itu, pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Nurul Ain Zulkafli turut berkongsi bahawa dia kini lebih jelas tentang kepentingan menyusun perancangan kewangan mengikut fasa kehidupan serta memahami bagaimana insurans dapat memberi ketenangan fikiran apabila berlaku perkara yang tidak dijangka.
Program ini telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelajar UUM.
PPKKG merancang untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang dengan penyertaan lebih banyak industri serta penambahan modul berkaitan pelaburan, simpanan dan pengurusan hutang. – Anis Zulaikha Kamal