Campus

7-Eleven Malaysia lancar cawangan 7Cafe pertama dalam kampus IPTA

Berita dan gambar Jamilah Ismail

SINTOK, 20 Mei 2025: 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd terus mengukuhkan kehadirannya dalam landskap peruncitan negara dengan membuka cawangan pertama berkonsepkan 7Cafe di dalam kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), iaitu di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis perasmian pembukaan cawangan baharu itu telah diadakan pada 15 Mei lalu, dan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Dr. Afiruddin Tapa.

Pembukaan kedai serbaneka ini menandakan pencapaian penting buat 7-Eleven Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih dekat kepada komuniti kampus, khususnya pelajar dan staf UUM sesuai dengan slogan mereka “Always There For You”, yang menggambarkan komitmen untuk sentiasa tersedia kepada pelanggan pada bila-bila masa.

Dr. Afiruddin berkata, kewujudan 7Cafe dalam kampus bukan sahaja memberi kemudahan kepada warga universiti, malah memperkenalkan konsep peruncitan moden yang mesra pengguna dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.

“Kami berharap kehadiran 7Cafe ini akan memberi nilai tambah kepada ekosistem kampus dan menjadi titik permulaan kerjasama strategik antara sektor peruncitan dan institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Cawangan 7Cafe di UUM ini menampilkan konsep kedai serbaneka moden yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman segar, termasuk kopi, pastri, makanan segera serta barangan keperluan harian – semuanya dalam suasana santai dan mesra pelanggan.

Dengan pembukaan ini, 7-Eleven Malaysia bukan sahaja mencipta sejarah sebagai peruncit pertama membuka cawangan seumpamanya di kampus IPTA, malah memperlihatkan komitmen syarikat untuk terus berkembang dan memenuhi keperluan pelanggan di pelbagai lokasi strategik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button