Campus

AGNUUM terima lawatan Naziran Sukan KPT bagi menilai penggunaan peruntukan 2022 hingga 2024

Gambar AGNUUM

SINTOK, 7 Mei 2025: Seksyen Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengadakan lawatan Naziran Sukan di Zon Utara pada hari ini bertempat di Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM).

Lawatan ini diketuai oleh Pegawai Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Norizan Isa.

Norizan berkata, tujuan utama lawatan ini adalah bagi menilai pelaksanaan dan penggunaan peruntukan sukan bagi tahun 2022 hingga 2024 di Akademi Golf Nasional UUM melalui program Pusat Kecemerlangan Sukan (Golf).

Menurutnya, penilaian ini melibatkan semakan dokumentasi, tinjauan tapak, serta sesi perbincangan bersama pihak pengurusan Akademi Golf Nasional UUM.

Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan yang berintegriti serta keberkesanan program sukan golf yang dijalankan selaras dengan objektif pembangunan sukan di peringkat IPT.

“Melalui lawatan ini, kita dapat memastikan peruntukan yang disalurkan oleh KPT dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan ekosistem sukan golf di universiti, sekali gus mencungkil lebih ramai bakat atlet ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Lawatan ini turut membuka ruang kepada sesi libat urus antara pihak KPT dan universiti bagi penambahbaikan pelaksanaan program sukan golf pada masa akan datang.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah pegawai-pegawai dari Seksyen Sukan KPT, pegawai AGNUUM, serta Siti Farhana Shabudin wakil dari Bursar UUM. – Nurul Farhana Abd Razak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button