Campus

Aktifkan pembelajaran berteraskan Problem-Based Learning

SINTOK, 25 Jun 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melakar kejayaan dengan penganjuran program berteraskan PBL melalui program “Production & Operations Management Group Showcase” atau lebih dikenali sebagai POM Group Showcase.

Program ini adalah pertama kali diadakan bersempena STML Green Carnival yang menjadi acara tahunan STML. Program ini adalah kesinambungan bagi kursus BJTNK2033 Pengurusan Pengeluaran & Operasi yang melibatkan 454 pelajar dari pelbagai latar belakang Ijazah Sarjana Muda UUM.

Program ini menyediakan platform kepada pelajar membentangkan hasil kerja kumpulan melalui aktiviti PBL yang menerapkan kemahiran kognitif, dan komunikasi yang berkesan sesuai dalam bidang pengurusan operasi. Melalui aktiviti PBL juga, program ini dapat melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berkeyakinan tinggi, berfikiran kritis, kreatif dan berketerampilan analitis.

Bagi memeriahkan program ini, majlis pembukaan turut diadakan bagi menyuntik semangat pelajar-pelajar sebelum sesi pembentangan berkumpulan yang melibatkan 90 kumpulan dan 17 pensyarah STML sebagai panel penilai. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Alumni) STML, Prof. Madya Dr. Norsiah Hami.

Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan pengurusan operasi dalam sesebuah organisasi.

“Program ini dapat menjadi sumber pembelajaran yang berharga bagi mahasiswa yang menjadi pembelajaran yang berterusan di dunia pekerjaan kelak,” ujarnya.

Menyedari kepentingan industri dalam proses pembelajaran di peringkat universiti, program ini turut menjemput Alumni UUM, Samshul Anor Ahmad dari BDB Infra Sdn. Bhd. bagi berkongsi pengalaman beliau dalam industri.

Perkongsian ini memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai cabaran sebenar dunia perniagaan, khususnya dalam aspek pengurusan operasi sesebuah organisasi.

Di akhir program, satu majlis penutup telah diadakan bagi menghargai sumbangan 6 pensyarah kursus yang bertindak sebagai penasihat kepada aktiviti pembelajaran berteraskan PBL ini.

Selain itu, sebanyak 30 hamper telah dipertandingkan kepada 90 kumpulan peserta, dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) dan Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan bin Abdul Rahim. – Dr. Mawaddah Mohamad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button