Aktiviti ‘indoor game’ IPIZ UUM jadi terapi dan pemangkin semangat berpasukan
Berita dan gambar Azim Hasyimi Abdul Rahman
SINTOK, 15 Jun 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan program Indoor Game pada Khamis lalu sebagai salah satu inisiatif memperkukuh kesedaran tentang kesihatan mental dan pengurusan tekanan di tempat kerja.
Program ini turut memberi peluang kepada kakitangan IPIZ untuk berehat sejenak daripada rutin harian sambil berinteraksi secara santai dan sihat.
Program yang diketuai oleh Pembantu Tadbir, Ahmad Khalidi Abdul Halim ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan IPIZ.
Antara permainan yang disediakan ialah catur, jengga, saidina, dan sahiba – permainan papan yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut menguji strategi, tumpuan, dan kemahiran berfikir secara kritis.
Ahmad Khalidi berkata, tujuan utama program ini adalah untuk memupuk semangat bersukan dalam kalangan warga kerja meskipun secara dalaman, di samping meningkatkan hubungan silaturahim dan menyemai nilai kerjasama dan komunikasi berkesan dalam suasana tidak formal.
Menurutnya, aktiviti ini juga sejajar dengan usaha berterusan IPIZ untuk menggalakkan gaya hidup seimbang dalam kalangan stafnya.
“Aktiviti seperti ini dapat membantu warga kerja melepaskan tekanan dan meningkatkan produktiviti dalam jangka panjang.
“Kadang-kadang, kita hanya perlu satu ruang untuk berehat seketika. Bila kita rasa dihargai dan gembira, kerja pun lebih berkualiti,” katanya.
Secara keseluruhan, program ini mencerminkan komitmen IPIZ dalam menjaga kebajikan kakitangannya bukan sahaja dari segi profesionalisme, tetapi juga kesejahteraan emosi dan sosial.
Diharapkan program sebegini dapat menjadi contoh kepada institusi lain dalam memelihara keharmonian di tempat kerja.