ARICG dan UMY kukuhkan kolaborasi serantau dalam penyelidikan dan pendidikan tadbir urus korporat
Gambar ARICG
SINTOK, 1 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) telah menerima kunjungan delegasi dari Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia, dalam rangka program Strategic Collaboration ARICG-UMY Academic Linkages bertemakan “Strengthening Regional Collaboration in Corporate Governance Research and Education” yang berlangsung dari 15 hingga 20 Jun 2025.
Delegasi UMY yang diketuai oleh Prof. Dr. Eko Priyo Purnomo, Profesor di Yusuf Kalla School of Government serta lapan ahli dalam kalangan pensyarah dan pelajar PhD telah mengadakan beberapa aktiviti koloborasi kepakaran dari segi penyeliaan, penyelidikan dan penerbitan bersama.
Sepanjang lawatan, lima pelajar PhD dari UMY telah membentangkan draf cadangan penyelidikan mereka dalam satu sesi khas di Bilik Mesyuarat ARICG bersama penyelia masing-masing yang terdiri daripada pensyarah UUM yang juga merupakan felo penyelidik ARICG.
Sesi ini turut disusuli dengan perbincangan intensif berkaitan perkembangan ilmu tadbir urus melalui penulisan tesis serta penerbitan artikel jurnal. Selain aktiviti akademik, delegasi UMY turut dibawa melawat sekitar kampus UUM termasuk Anjung Tamu dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Delegasi turut diundang menghadiri Persidangan iFuture anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). Selain itu, Prof. Dr. Eko Priyo Purnomo turut mengadakan perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam ASEAN Talk Series 1 dengan syarahan bertajuk “Creating a Leadership in Public Governance: A Lesson Learned from Indonesia” yang mendapat sambutan hangat daripada peserta termasuk pelajar UUM.
Mengakhiri lawatan rasmi ini, delegasi UMY telah dibawa melawat beberapa destinasi menarik di Kedah dan Perlis termasuk Bandaraya Alor Setar, Muzium Padi, Masjid Zahir, Padang Besar dan Kuala Perlis sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang terjalin. – Norfaiz Ab. Mutalib