Campus

ASEAN Student Mobility @UUM bukti komitmen UUM sokong agenda pengantarabangsaan

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 24 Februari 2025: ASEAN Student Mobility Programme Familiarization Visit & Winter Exchange @UUM yang berakhir semalam dijangkakan mampu mengukuhkan kerjasama pendidikan, memupuk kolaborasi akademik rentas sempadan dan memperkaya pertukaran budaya dalam kalangan pelajar ASEAN, selari dengan aspirasi integrasi serantau.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, program ini membuktikan komitmen Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyokong agenda pengantarabangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurutnya, inisiatif ini juga selari dengan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan rakyat dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Katanya, mobiliti pelajar memainkan peranan penting dalam mencapai visi ini yang menggalakkan negara anggota ASEAN untuk meningkatkan pertukaran pelajar intra-ASEAN dan meningkatkan kerjasama pendidikan tinggi di seluruh rantau.

“UUM bukan sekadar universiti, ia adalah rumah di mana rasa ingin tahu dipupuk, persahabatan berkembang dan pemimpin masa depan dibentuk. Sambil universiti meneruskan misi untuk membentuk pemimpin masa depan, UUM tetap berdedikasi untuk menyediakan pendidikan holistik yang menyatukan kecemerlangan akademik, penglibatan global dan industri.

“Saya berharap pelajar dapat untuk menggunakan semula pengetahuan, pengalaman dan hubungan yang telah terjalin di sini di negara asal apabila pulang. Pelajar bukan sahaja pelawat UUM tetapi juga duta kami yang membawa semangat UUM kepada komuniti, rakan dan keluarga,” katanya pada ASEAN Student Mobility Programme Familiarization Visit & Winter Exchange @UUM di Dewan Tan Sri Othman.

Sementara itu, Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, program ini bukan sahaja mengenai pertukaran akademik dan budaya tetapi ia telah menjadi ujian ketahanan, kebolehsuaian dan keupayaan untuk melangkah keluar dari zon selesa.

Menurutnya, pelajar telah membuktikan bahawa mobiliti bukan hanya tentang bergerak dari satu tempat ke tempat lain tetapi ia adalah tentang mengembangkan, belajar dan membina hubungan sepanjang hayat.

Katanya, beliau amat menggalakkan semua pelajar untuk memanfaatkan apa yang telah dipelajari dan membawanya untuk kegunaan di masa hadapan.

“Sentiasa berhubung, bekerjasama dan gunakan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk peluang yang lebih besar.

“Pelajar kini adalah sebahagian daripada rangkaian ASEAN yang lebih besar dan perjalanan anda tidak berakhir di sini, ia hanya satu langkah permulaan,” katanya.

Seramai 60 pelajar dari negara ASEAN telah menyertai program mobiliti ini di mana UUM melalui CIAC telah diberi kepercayaan untuk menerajui ASEAN Student Mobility Programme sempena penganjuran ASEAN Universities Exhibition and Forum 2025 (AEF2025) oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) pada 24 dan 25 Februari 2025.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button