Campus

Bengkel kajian kes bertemakan dari pengalaman ke pembelajaran

SINTOK, 26 Mac 2025: Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), dengan kerjasama Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) menganjurkan Bengkel Penulisan Kajian Kes dan Nota Pengajaran bagi Pegawai Pengurusan dan Profesional Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif program keserakanan HEPA yang bertujuan untuk memperkukuh keupayaan pegawai HEPA dalam mendokumentasikan perkongsian pengalaman mereka melalui kajian kes.

Bertemakan “Dari Pengalaman ke Pembelajaran”, program ini memberi tumpuan kepada kaedah menghasilkan kajian kes yang relevan dengan cabaran sebenar dalam pengurusan hal ehwal pelajar, pembangunan profesional, kebajikan dan kesejahteraan komuniti universiti.

Pengarah JHEP, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi berkata,  JHEP menganjurkan bengkel ini  untuk memperkasakan peranan pegawai HEPA dengan ilmu serta kemahiran tambahan sebagai inisiatif penerapan nilai pembelajaran berterusan untuk kecemerlangan organisasi.

“Saya amat berterima kasih kepada PKKPK kerana  membantu kami membangunkan kajian kes yang boleh digunakan pada peringkat latihan dalaman dan membimbing pegawai HEPA untuk memulakan gerak kerja penulisan kes yang berkesan,” katanya.

Bengkel ini dirangka secara berstruktur dan interaktif melalui tiga slot utama. Slot pertama memperkenalkan konsep serta kepentingan kajian kes sebagai alat latihan pegawai HEPA. Slot kedua memberi tumpuan kepada penyediaan nota pengajaran yang membantu pegawai dalam sesi latihan. Slot terakhir pula membolehkan peserta menggunakan aplikasi ChatGPT dan Copilot untuk menstrukturkan pengalaman kerja mereka ke dalam bentuk kajian kes yang boleh digunakan dalam sesi latihan dan pembangunan profesional pegawai HEPA.

Sebagai sebahagian daripada latihan, pihak PKKPK  menghasilkan satu contoh kajian kes bertajuk “Malam Yang Mengubah Segalanya: Peranan Pegawai HEP Dalam Mengurus Kematian Pelajar”.

Kajian kes ini mengisahkan detik mencabar yang dihadapi pegawai HEP ketika berdepan dengan insiden kematian mengejut seorang pelajar di kolej kediaman. Kes ini memberi gambaran mendalam tentang bagaimana pegawai HEP harus menguruskan krisis, berkomunikasi dengan keluarga pelajar, serta memberi sokongan kepada rakan-rakan dan komuniti universiti yang terkesan. Kajian kes ini menjadi rujukan utama dalam bengkel bagi membantu peserta menghasilkan kes yang lebih bermakna dan berimpak tinggi untuk pembangunan profesional pegawai sedia ada dan baharu.

Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr Narentheren Kaliyappen menekankan kepentingan kajian kes sebagai alat pembelajaran yang efektif, bukan hanya dalam aspek akademik tetapi juga merangkumi latihan profesional.

“Pegawai HEPA memiliki pengalaman unik dalam mengurus perkhidmatan, kebajikan dan pembangunan pelajar. Kajian kes membolehkan pengalaman ini dikongsi secara sistematik, membantu pegawai lain menangani cabaran yang serupa dengan lebih berkesan,” katanya.

Peserta memberikan maklum balas positif terhadap bengkel ini dan menyatakan bahawa pendekatan yang digunakan sangat praktikal serta membantu mereka memahami cara menulis kajian kes dengan lebih sistematik.

Bengkel ini adalah sebahagian daripada siri latihan yang dirancang untuk pegawai HEPA, dengan sesi susulan akan diadakan dalam tempoh tiga bulan bagi menyemak dan memperbaiki kes yang ditulis. Dalam tempoh dua bulan selepas itu, sesi ketiga akan diadakan untuk melatih pegawai HEPA dalam penggunaan kajian kes semasa sesi latihan yang mereka akan kendalikan. – JHEP dan PKKPK

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button