Campus

Bengkel Kepimpinan “Pillars Of Tomorrow” perkasa pelajar SMK Pedu dan SoIS UUM

Gambar SoIS

SINTOK, 17 Julai 2025: Seramai 40 pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu, Kuala Nerang bersama dua guru pengiring telah menyertai Bengkel Kepimpinan “Pillars of Tomorrow” yang telah dianjurkan di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 7/1, Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero berkata, program ini merupakan inisiatif pengajaran berimpak tinggi bagi kursus GFPPK2403 Kepimpinan Organisasi (Kumpulan A) Semester A242, yang dilaksanakan di bawah pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dengan penyertaan 39 pelajar kursus berkenaan.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta terlibat dalam pelbagai pengisian bermanfaat termasuk forum interaktif, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti explorace, serta sesi jelajah kampus UUM. Aktiviti jelajah kampus ini memberi peluang kepada pelajar untuk merasai sendiri suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi, selain memberikan pendedahan awal mengenai kehidupan sebagai pelajar universiti.

Dr. Siti Darwinda berkata, program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran insaniah pelajar sekolah seperti komunikasi berkesan, kerjasama berpasukan, dan kesedaran sosial, malah turut menjadi medan latihan praktikal kepada pelajar UUM dalam aspek perancangan program, kepimpinan, dan penglibatan komuniti secara langsung.

Menurutnya, penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen UUM dalam memperluas jaringan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan menengah dan komuniti setempat, sejajar dengan usaha memperkasakan peranan universiti sebagai agen transformasi sosial serta menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti melalui penglibatan komuniti secara menyeluruh.

Turut hadir mengiringi pelajar SMK Pedu ialah Kaunselor, Omar Abdullah; Guru Pengawas, Basiroh Abdul Manas; Muhammad Ridhuan Ismail, dan Siti Aisyah Mohd Noah yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penglibatan pelajar sepanjang program berlangsung. – Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button