Bengkel Kesedaran Halal perkasa usahawan inkubutor CEDI UUM
Gambar CEDI
SINTOK, 24 April 2025: Seramai 40 peserta Program Inkubator Perniagaan Kek dan Pastri telah menyertai Bengkel Kesedaran Halal anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diadakan di Bilik Seminar CEDI, Kompleks Konvensyen.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada pengisian dalam Program Inkubator Perniagaan Kek dan Pastri, iaitu program berteraskan pembangunan keusahawanan yang dibiayai melalui geran dana keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program ini menyasarkan golongan usahawan muda dan belia kampus untuk dibimbing secara sistematik ke arah membina perniagaan yang mampan dan berdaya saing.
Bengkel yang berlangsung pada 22 April ini bertujuan memberi pendedahan asas berkenaan pengurusan halal dalam perniagaan, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman (F&B). Program ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, Dr. Nor Aina Mhd Khotib, Pengurus Institut Pengurusan Halal (IHM), UUM.
Menurut Dr. Nor Aina, kesedaran mengenai keperluan halal dalam perniagaan bukan sahaja penting untuk mematuhi kehendak syariah, malah mampu meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan pengguna terhadap produk yang ditawarkan.
Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, bengkel ini merupakan salah satu usaha berterusan CEDI dalam memperkasakan usahawan inkubator bukan sahaja dari sudut kemahiran teknikal, tetapi juga dari aspek pematuhan piawaian dan nilai Islam.
Menurutnya, kesedaran dan kefahaman mengenai pensijilan halal ini amat penting dalam memastikan produk yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti, tetapi juga diyakini.
B”CEDI akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk IHM UUM bagi menyediakan latihan dan bimbingan yang relevan kepada para usahawan agar mereka lebih bersedia untuk menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk pasaran halal antarabangsa,” katanya.
Program ini turut mendapat sambutan positif daripada para peserta yang rata-rata menyatakan bahawa bengkel ini telah membuka mata mereka tentang pentingnya pengurusan halal yang sistematik dan menyeluruh dalam perniagaan. – Akmal Ahlami Md Rozai