Bengkel Pelaporan Kemajuan Jurnal SLCP pergiat aktiviti penerbitan UUM
Gambar Dr. Aszlan Selamat
SINTOK, 13 Mei 2025: Jawatankuasa Penerbitan, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pelaporan Kemajuan Jurnal, baru-baru ini.
Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, bengkel ini bertujuan memberi maklum balas berkenaan perkembangan terkini tiga jurnal SLCP dalam usaha mempergiatkan aktiviti penerbitan.
Menurutnya, menjadi hasrat besar SLCP untuk melihat setiap jurnal SLCP dapat berkembang dengan baik dan seterusnya berjaya mendapat status MyCite dalam masa terdekat.
Katanya, objektif utama bengkel ini ialah untuk melihat perkembangan jurnal SLCP, merangka strategi untuk mengetengahkannya ke peringkat antarabangsa, dan pada masa yang sama berjaya diindeks oleh MyCite dalam tempoh terdekat.
Bengkel tersebut telah dihadiri oleh 20 pensyarah SLCP yang terdiri daripada Ketua Editor Malaysian Journal of Applied Linguistics (MJoAL), Ketua Editor RENTAS, Ketua Editor Applied History Journal of Merong Mahawangsa (AHJMM), sidang pengarang jurnal, dan AJK Jawatankuasa Penerbitan SLCP.
Bengkel ini turut didedahkan berkenaan dengan pengindeksan MyCite yang disampaikan oleh Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin, yang juga merupakan Ketua Editor Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI) yang sudah diindeks oleh MyCite dan Scopus.
Dr. Tengku Faekah berkata, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui oleh editor jurnal dalam memastikan setiap artikel yang diterbitkan adalah berkualiti. Melalui bengkel ini beliau telah berkongsi pelbagai tip dan strategi untuk mendapatkan MyCite, seterusnya status Scopus dalam beberapa tahun lagi.
Bengkel seumpama ini merupakan langkah awal yang penting dalam usaha mencapai matlamat tersebut.
Beliau turut berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dalam mengendalikan MJLI daripada dulu sehingga ke hari ini sebagai panduan bermakna kepada semua peserta bengkel.
Bengkel yang diketuai oleh Dr. Zamimah Osman selaku Pengerusi JK Penerbitan SLCP ini berakhir dengan perkongsian yang sangat bermakna daripada penceramah jemputan.
Peserta bengkel juga diberi peluang untuk membentangkan strategi penerbitan jurnal masing-masing bagi tahun 2025, serta berkongsi cabaran yang dihadapi dalam mengendalikan pengurusan jurnal untuk perhatian dan makluman JK Penerbitan SLCP. – Dr. Khairiah Mohd Yassin