CEDI dan ANGKASA sedia jayakan Program Kepimpinan Koperasi 2025
Gambar CEDI
SINTOK, 20 Mei 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Program Kepimpinan Koperasi (Co-operative Leadership Programme): ‘Strategi dan Pengurusan Projek Berkesan’ bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
Mesyuarat secara atas talian ini dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, dan CEDI diwakili Pegawai Tadbir, Akmal Ahlami Md. Rozai serta wakil-wakil pengurusan kanan daripada kedua-dua pihak.
Mesyuarat ini diadakan sebagai langkah awal penyelarasan gerak kerja bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang dijadualkan berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2025 di EDC-UUM, serta lawatan penanda arasan ke koperasi di Pattani, Thailand pada 31 Mei hingga 2 Jun ini.
Akmal berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah kerangka memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara UUM dan ANGKASA, bertujuan untuk memperkasa kepimpinan koperasi di Malaysia melalui pendekatan latihan dan pembangunan kapasiti yang tersusun dan berimpak tinggi.
Mesyuarat turut membincangkan aspek pelaksanaan modul yang dibangunkan oleh tenaga pakar akademik UUM iaitu Modul Strategi dan Pengurusan Projek Berkesan. Modul ini akan digunakan sebagai asas kepada program latihan selama dua hari tersebut yang melibatkan penyertaan seramai 40 peserta terdiri daripada pemimpin koperasi peringkat nasional, negeri, daerah serta dari sektor awam dan swasta.
Dr. Mohd Azlan berkata, kerjasama erat antara UUM dan ANGKASA dalam penganjuran program seperti ini amat signifikan dalam memastikan kesinambungan pembangunan kapasiti kepimpinan koperasi negara, selari dengan agenda transformasi sektor koperasi yang lebih profesional dan mampan.
Turut dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah pengurusan logistik, pengisian program, pembentangan kes kajian koperasi, serta pelaksanaan lawatan penanda arasan ke koperasi cemerlang di Pattani, Thailand yang dijangka dapat memperkaya pengalaman peserta dan memperluas jaringan antarabangsa koperasi Malaysia.
Mesyuarat berakhir dengan komitmen padu daripada kedua-dua pihak untuk bekerjasama secara strategik dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program serta mencapai objektif pembangunan dan pemantapan kepimpinan koperasi secara holistik. – Akmal Ahlami Md. Rozai