Campus

Cooperative Leadership Program (CLP) buka tirai siri pertama di UUM

Gambar CEDI dan ANGKASA

SINTOK, 11 Jun 2025: Program Kepimpinan Koperasi (Cooperative Leadership Program – CLP) Siri 1 telah dimulakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan disertai lebih daripada 30 staf pengurusan daripada kumpulan-kumpulan utama di ANGKASA iaitu Kumpulan Hubungan Strategik, Kumpulan Kewangan Korporat, Kumpulan Perniagaan Koperasi dan Kumpulan Pembangunan Koperasi.

Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, program ini dimulakan di UUM selama dua hari dengan penumpuan kepada latihan secara teori dan aplikasi bersama dengan pihak tenaga pengajar daripada CEDI dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).

Menurutnya, peserta diberikan peluang untuk berbincang berkenaan dengan pelaksanaan projek-projek yang dipelopori oleh ANGKASA di seluruh Malaysia, termasuk projek yang diterajui oleh Jawatankuasa ANGKASA Negeri di seluruh negara.

Katanya, penekanan dan penumpuan diberikan kepada strategi untuk memantapkan sistem pemantauan projek di samping memastikan aliran tunai bagi projek-projek terlibat sentiasa dikawal selia dengan baik bagi mengelakkan isu-isu ketirisan dan pembaziran.

Program latihan di UUM bersama CEDI berakhir pada 31 Mei lalu yang disempurnakan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Kamarudin Ismail.

Beliau menegaskan bahawa peluang bersama dengan pihak CEDI melalui program CLP perlu digunakan sebaiknya.

“Walaupun kita berbincang secara teori, namun tidak dapat dinafikan teori tetap penting bagi memastikan gerak kerja pelaksanaan projek-projek ini sentiasa dijalankan dengan teratur mengikut tata kelola amalan tadbir urus terbaik koperasi,” katanya.

Kamarudin juga menegaskan untuk memastikan projek-projek tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, perbincangan secara berterusan perlu terus diadakan, dan beliau menasihatkan supaya jika terdapat sebarang permasalahan yang berlaku, pengurus projek berkaitan boleh sentiasa duduk berbincang dengan beliau bagi mencari solusi secara tuntas dan pantas.

“Di dalam perniagaan, tiada isitilah tunggu dan lihat, dan segala tindakan dan keputusan perlu dilakukan dengan pantas bagi memastikan kita tidak terlepas peluang-peluang berharga yang dapat kita garap dalam aspek membangun dan mengembangkan perniagaan gerakan koperasi tempatan,” katanya.

Majlis perasmian ini juga turut menyaksikan pelancaran variasi produk coklat ‘Rosche Valle’ yang merupakan hasil berterusan program penyelidikan dan pembangunan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA yang diterajui oleh Kamarudin sendiri selaku Pengerusi Kumpulan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Perlis, Dr. Ammar Hassan; Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Noorazmi Jalil; Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Hubungan Strategik, Dr. Salmah Ishak; Timbalan Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar dan Dr. Saiful Azizi.

Cooperative Leadership Program (CLP) diteruskan dengan lawatan industri ke koperasi di Pattani, Thailand bermula 31 Mei hingga 2 Jun lalu. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button