Finishing School UUM serlahkan kesiapsiagaan profesional pelajar tahun akhir undang-undang
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim
SINTOK, 29 Mei 2025: Seramai 113 pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Finishing School: UUM Practical Corporate Law Workshop yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Mei lalu di Dewan Pusat Penginapan Pelajar (SAC), UUM.
Program berprestij ini telah dikendalikan oleh Dato’ Azmi Mohd Ali, tokoh korporat dan perundangan terkenal yang juga merupakan Profesor Adjung SOL dan juga merupakan pengasas firma guaman terkemuka Tetuan Azmi & Associates bertindak sebagai penceramah utama sepanjang bengkel berlangsung.
Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, dengan objektif utama untuk memperkukuh kemahiran praktikal serta kesiapsiagaan pelajar menghadapi alam pekerjaan, bengkel ini memberi penekanan kepada aspek penting dalam undang-undang korporat termasuk penubuhan syarikat, tadbir urus, tanggungjawab fidusiari, pematuhan korporat, serta penggabungan dan pengambilalihan syarikat.
Menurutnya, pelajar turut menerima sijil profesional sebagai bukti kompetensi dan latihan praktikal yang dapat memberi nilai tambah kepada pelajar dalam usaha memperkukuhkan kebolehpasaran mereka di masa hadapan.
“Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Pusat Pengajian Undang-Undang dalam mempersiapkan graduan yang holistik dan selari dengan kehendak industri semasa.
“Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan kes sebenar serta simulasi kerja firma guaman, pelajar diberi peluang merasai pengalaman sebenar dunia korporat,” katanya.
Program ini turut mengukuhkan hubungan dua hala antara pihak universiti dan industri, selaras dengan Teras 2 dan Teras 3 Pelan Strategik UUM, yang memberi penekanan kepada pembangunan akademik dan profesional secara menyeluruh.
Penglibatan langsung Dato’ Azmi sebagai Profesor Adjung memperlihatkan sinergi kuat antara akademia dan industri dalam usaha memperkasa pelajar dari sudut ilmu, kemahiran, dan jaringan profesional.
Program ini juga turut menyumbang kepada pencapaian beberapa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Teras Lima, antaranya peningkatan jumlah rakan industri, penglibatan pengamal profesional, serta penyertaan pelajar dalam program finishing school.
Peserta menyambut baik pelaksanaan program ini dan menyifatkannya sebagai satu pengalaman berharga yang membuka minda serta memperkukuh keyakinan diri mereka dalam menghadapi cabaran dunia kerjaya perundangan.
Secara keseluruhannya, UUM Practical Corporate Law Workshop ini bukan sahaja berjaya menambah nilai terhadap pembangunan pelajar, malah turut memperkukuh reputasi UUM sebagai institusi pengajian tinggi yang responsif terhadap keperluan semasa industri.