Campus

Fuel Up: Sajian Kasih Pejuang Ilmu suntik semangat pelajar Inasis Bank Rakyat sepanjang musim peperiksaan

Berita dan gambar Muhammad Syakirin Mohd Faizan

SINTOK, 7 Julai 2025: Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat menerusi Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) telah melaksanakan sebuah inisiatif kebajikan bertemakan Fuel Up: Sajian Kasih Pejuang Ilmu, yang bertujuan menyantuni para pelajar dengan menyediakan sarapan pagi secara percuma sepanjang musim peperiksaan akhir semester.

Program ini berlangsung selama 20 hari berturut-turut dengan pengagihan roti dan air kotak kepada 50 pelajar setiap hari.

Presiden JKPSRS Inasis Bank Rakyat, Muqriz Adam Mahadzir berkata, inisiatif ini telah dirangka sebagai usaha menyokong kesejahteraan pelajar, khususnya dalam aspek pemakanan yang sering diabaikan oleh pelajar akibat tekanan, kekangan masa mahupun kekangan kewangan sepanjang musim peperiksaan.

Menurutnya, pada masa yang sama, ia turut mendorong pembudayaan nilai prihatin dan saling menyokong dalam komuniti kampus, seterusnya meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan kebajikan dan sokongan moral.

“Program ini merupakan ungkapan kasih sayang sokongan sesama pelajar yang lahir daripada nilai kemanusiaan serta tanggungjawab sosial.

“Ramai pelajar menghadapi tekanan dan cabaran tersendiri sepanjang peperiksaan. Melalui program ini, kita bukan sahaja ingin memberi mereka tenaga fizikal, tetapi juga sokongan emosi dan semangat untuk terus berjuang,” katanya.

Muqriz Adam berkata, pelaksanaan program seumpama ini berupaya membentuk pelajar yang lebih cakna terhadap kesejahteraan sekeliling, bersifat empati serta bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat melalui sumbangan tenaga dan idea.

Secara keseluruhan, Fuel Up: Sajian Kasih Pejuang Ilmu bukan sekadar sebuah program agihan makanan semata-mata, tetapi turut membawa mesej mendalam tentang kebersamaan, kebajikan dan usaha kolektif dalam membentuk sebuah komuniti kampus yang saling peduli dan menyokong antara satu sama lain.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button