Campus

Global Lingua Fest 2025 perkasa kepelbagaian bahasa dan budaya

Gambar Unit Bahasa Antarabangsa

SINTOK, 25 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menjadi pusat pertemuan pelbagai budaya dan bahasa melalui Global Lingua Fest 2025, yang diadakan baru-baru ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie dan turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, SLCP, Dr. Nor Azlah Sham Rambely.

Dr. Mohamad Khadafi menekankan kepentingan penguasaan bahasa dalam menghubungkan antara manusia serta mengukuhkan identiti budaya.

Menurutnya, program seperti ini berperanan besar dalam membuka ruang kepada pemahaman lebih mendalam tentang pelbagai bahasa serta mempromosikan keterbukaan terhadap kepelbagaian budaya.

Katanya, objektif utama penganjuran program ini adalah memupuk kesedaran serta penghayatan terhadap kepelbagaian bahasa dan budaya dunia dalam kalangan pelajar dan masyarakat akademik.

Global Lingua Fest melibatkan semua bahasa yang ditawarkan di UUM yang terdiri daripada bahasa Melayu, bahasa Thai, bahasa Korea, bahasa Arab, bahasa Jepun, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Jerman dan juga bahasa Mandarin.

Sementara itu, Pengarah Program, Norshahira Ismail berkata, program ini secara dasarnya memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk meneroka, merasai sendiri, menjelajah serta menghargai keunikan budaya global melalui pengisian aktiviti yang dianjurkan.

“Antara aktiviti adalah seperti permainan tradisional masyarakat Melayu, simpul ikatan tali dari budaya Cina, pemakaian hanbok, hanfu dan yukata, pameran seni dan budaya dari negara Eropah, mempelajari penulisan seni khat Jawi, acara minum teh dan banyak lagi aktiviti kebudayaan yang lain.

“Melalui aktiviti-aktiviti ini, pelajar dapat mempelajari secara praktikal tentang adat dan budaya sesuatu bahasa dan negara,” katanya.

Program anjuran Unit Bahasa Antarabangsa dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni, SLCP ini telah berlangsung dengan jayanya dan mencapai objektifnya. – Zeety Kartini Abdul Hamid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button