Campus

HACK 2.0 UUM, PNB dan ASNB tekan kepentingan urus wang beretika

Berita dan gambar Zahratus Sofiah Zulhilmi

SINTOK, 22 Mei 2025: Program Hari Celik Kewangan (HACK) 2.0 anjuran Dana Sosial Takaful (STF) Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menekankan kepentingan pengurusan kewangan beretika dan pelaburan patuh syariah dalam kalangan pelajar.

Program melibatkan dua sesi berasingan bersama pelajar dan staf yang diadakan di DKG 7/3 di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) serta Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Sesi pertama melibatkan lebih 200 pelajar dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim sebagai penceramah jemputan.

Beliau menjelaskan asas pelaburan yang betul serta peranan generasi muda dalam menyokong ekonomi negara melalui instrumen pelaburan yang sah dan bertanggungjawab.

“Ilmu kewangan adalah sebahagian daripada tanggungjawab peribadi dan sosial. Pelaburan patuh syariah bukan sahaja memberi pulangan, tetapi juga keberkatan dalam rezeki,” katanya.

Sesi tersebut turut diserikan dengan kuiz interaktif, cabutan bertuah serta pameran produk pelaburan ASNB yang memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat dan membuka akaun pelaburan secara terus.

Sementara itu, sesi petang diteruskan di Auditorium Perpustakaan Sultanah Bahiyah, bermula jam 2.30 petang bersama staf akademik dan pentadbiran UUM.

Sesi ini turut dihadiri oleh Dr. Ahmad Basri Ibrahim serta Rotasya Harun dari ASNB, yang menyampaikan ceramah mengenai pengurusan kewangan jangka panjang, perancangan hibah, serta peranan pekerja sektor awam sebagai pelabur bijak.

Rotasya dalam perkongsiannya menyarankan agar warga kerja UUM mengambil langkah awal dalam pelaburan bagi menjamin masa depan yang lebih terancang dan stabil.

Beliau juga memperkenalkan kemudahan e-ASNB serta aplikasi pelaburan digital yang mesra pengguna.

“Dengan hanya serendah RM10, sesiapa sahaja boleh mula melabur tetapi yang penting ialah kesedaran dan disiplin dalam mengurus kewangan,” kata beliau kepada hadirin. Sesi petang ini turut menyediakan kaunter pembukaan akaun, khidmat nasihat pelaburan, serta simulasi penggunaan platform digital ASNB.

Sambutan yang diberikan oleh staf UUM amat menggalakkan, menunjukkan peningkatan minat terhadap perancangan kewangan peribadi.

Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Madya. Dr. Selamah Maamor, turut merakamkan penghargaan terhadap penganjuran program ini yang disifatkan sangat relevan dan praktikal untuk semua peringkat universiti.

“Kami amat menghargai kerjasama erat bersama PNB dan ASNB dalam menyampaikan ilmu kewangan yang bersifat aplikatif.

“Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga yang celik kewangan, mampu merancang masa depan dengan lebih bijaksana, serta menjadikan pelaburan sebagai satu budaya positif dalam kalangan masyarakat berilmu,” katanya.

Secara keseluruhan, HACK 2.0 berjaya memperkukuh kefahaman warga UUM tentang kepentingan literasi kewangan dan pelaburan beretika, sekali gus menyokong usaha negara melahirkan masyarakat celik kewangan.

Program ini juga mencerminkan komitmen UUM dalam mendidik pelajar dan staf bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam aspek pengurusan kewangan dan kehidupan sebenar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button