Hari Kokurikulum UUM platform pelajar tonjol potensi dan nilai holistik
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 22 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan graduan holistik apabila menganjurkan Hari Kokurikulum UUM 2025, yang berlangsung di Padang Kawad UUM, semalam.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Foad telah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran Hari Kokurikulum yang menjadi acara kemuncak aktiviti kokurikulum pelajar UUM setiap tahun.
Menurutnya, Hari Kokurikulum ini bukan sekadar sambutan atau pameran aktiviti pelajar, sebaliknya simbol kepada proses pembentukan diri yang seimbang dari aspek intelek, sahsiah, kemahiran insaniah dan jati diri.
“Ini selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek Pendidikan Berkualiti, Kehidupan Sihat dan Sejahtera serta Komuniti Lestari,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelajar hari ini merupakan pelapis dan pewaris masa depan negara, justeru mereka perlu membina disiplin dan nilai kepimpinan sepanjang tempoh berada di universiti.
Menurutnya, kokurikulum menjadi medan penting dalam pembentukan nilai dan kemahiran sebenar yang akan menentukan kejayaan seseorang di alam kerjaya.
Katanya, ilmu bukan hanya untuk lulus peperiksaan atau sekadar memperoleh ijazah tetapi ia adalah alat untuk mencorakkan tamadun dan kemajuan bangsa.
“Sebab itu kita tekankan pembelajaran menyeluruh yang merangkumi akademik, kokurikulum, dan kemahiran diri,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang Hari Kokurikulum UUM 2025, antaranya persembahan oleh kelab dan persatuan pelajar, pameran aktiviti kokurikulum, pertandingan dan permainan interaktif.
Selain itu, Hari Kokurikulum memperlihatkan pelbagai persembahan dan demonstrasi oleh pelajar-pelajar kokurikulum seperti PALAPES, SUKSIS, pasukan seni bela diri, serta persembahan kesenian dan kebudayaan, yang mencerminkan keupayaan pelajar menggabungkan aspek fizikal, mental dan emosi secara seimbang.
Naib Canselor turut menyentuh mengenai keperluan evolusi aktiviti kokurikulum dalam era Revolusi Industri 5.0.
Menurutnya, UUM telah mula meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kaedah latihan, penilaian serta pengurusan aktiviti pelajar agar seiring dengan keperluan dunia digital masa kini.
“Kita mahu pelajar UUM celik teknologi, cekap berfikir dan tangkas bertindak. Aktiviti kokurikulum yang diinovasikan dengan elemen AI ini akan memperkasa pelajar menjadi pemimpin masa depan yang relevan dan adaptif,” katanya.
Dr. Mohd Foad turut menyeru pelajar UUM untuk memanfaatkan sepenuhnya segala ruang dan peluang yang disediakan oleh universiti sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia sebenar.
“Jadikanlah aktiviti kokurikulum sebagai platform mengasah bakat, membina karakter dan memupuk perpaduan.
“Tahniah kepada semua yang telah bekerja keras menjayakan Hari Kokurikulum UUM 2025. Saya yakin program ini memberi impak besar terhadap pembangunan sahsiah pelajar UUM,” katanya.
Majlis yang diserikan dengan kehadiran lebih 2,000 pelajar, pensyarah dan tetamu jemputan itu menggambarkan komitmen berterusan UUM dalam mendidik pelajar bukan sahaja sebagai cendekiawan, malah sebagai pemimpin masa depan yang berdaya saing dan berintegriti.
Menariknya, pelajar daripada kursus Siswaniaga turut mengambil peluang mempraktikkan kemahiran keusahawanan melalui pembukaan gerai jualan. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kreativiti dan inovasi, tetapi juga membina jati diri dan keyakinan pelajar dalam suasana sebenar dunia perniagaan.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kedah, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail; Ketua Jurulatih PALAPES, Mejar Hasnul Hisyam M. Saad, dan Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad.