Campus

Hari Sukan PGDE semarak semangat kesukanan

Gambar Amirul Mestar 

SINTOK, 2 Disember 2024: Seramai 180 pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) bersama pensyarah telah memeriahkan Hari Sukan PGDE 2024 di Stadium Universiti Utara Malaysia, baru- baru ini.

Acara dimulakan dengan majlis perasmian oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, diikuti dengan perarakan perbarisan yang penuh warna-warni.

Rumah Kuning berjaya dinobatkan sebagai Johan Perbarisan yang menampilkan kreativiti dan disiplin yang cemerlang dalam persembahan mereka.

Acara balapan dan sukaneka yang dijalankan turut menyaksikan persaingan sengit antara empat rumah sukan. Juara keseluruhan Hari Sukan PGDE 2024 disandang oleh Rumah Biru dengan kutipan 6 pingat emas, 2 perak, dan 1 gangsa. Kejayaan ini sekali gus menobatkan Rumah Biru sebagai pasukan terbaik pada hari tersebut.

Gelaran Olahragawan dan Olahragawati Hari Sukan PGDE 2024 masing-masing dianugerahkan kepada Muhamad Ghazali Mahat dan Gayathiri Selvaraju.

Muhamad Ghazali memperlihatkan kecemerlangannya dalam acara balapan dengan merangkul 2 pingat emas dan 1 perak, manakala Gayathiri turut mencatatkan pencapaian yang sama dalam kategori wanita.

Pengarah Program, Muhammad Adel Wajdi Mohamad Fuzi berkata, Hari Sukan PGDE 2024 bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi medium bagi mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah.

“Kami amat berpuas hati dengan penglibatan semua pihak, termasuk peserta dan jawatankuasa penganjur, yang bekerja keras memastikan kejayaan acara ini,” katanya.

Pelbagai acara sukaneka seperti “Bawa Bola Ping Pong Dalam Sudu” dan “Isi Air Dalam Botol” turut menarik perhatian dengan suasana riang dan penuh gelak tawa. Acara kemuncak iaitu Tarik Tali memperlihatkan semangat kerjasama tinggi antara ahli pasukan.

Majlis penutup menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang diikuti dengan ucapan penutup oleh Dr. Faizahani Ab Rahman.

Beliau berharap Hari Sukan PGDE akan terus menjadi platform untuk melahirkan pendidik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga sihat secara fizikal dan mental. – Amira Hadirah Norhasmadi 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button