Healthy MasterChef 2025 serlah kreativiti menu sihat di Green Carnival STML
Gambar STML
SINTOK, 24 Jun 2025: Persatuan Pengurusan Teknologi (MOTIC) di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan Healthy MasterChef Competition 2025 sebagai salah satu sub program di bawah Program Green Carnival STML 2025 yang berlangsung di Bamboo Garden, STML, baru-baru ini.
Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh berkata, pertandingan memasak bertemakan “Masakan Menu Sihat” ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan gaya hidup sihat melalui pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 iaitu memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua peringkat umur.
Program ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga Kolej Pertanian Malaysia (KPM), kakitangan STML, pelajar dari Pasukan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), UUM serta komuniti Kampung Mukim Jerlun.
Menerusi tema sihat ini, para peserta telah mempamerkan kreativiti dalam menyediakan hidangan yang bukan sahaja lazat, tetapi juga berkhasiat serta sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian. Antara menu yang dipersembahkan termasuk Nasi Ulam bersama Ayam Percik, Wrap Ayam Dada, Kerabu Palam, Kerabu Daun Pudina, Spaghetti berherba dengan ayam panggang, Masak Lemak Cili Api, Ayam Cili Padi, Rendang Ayam, Gulai Ayam Rias Pisang serta variasi salad segar. Untuk pencuci mulut, antara yang menarik perhatian ialah Bubur Jagung versi sihat yang mengekalkan elemen tradisional dengan bahan dan teknik penyediaan lebih sihat.
Penilaian bagi pertandingan ini dibuat berdasarkan empat kriteria utama iaitu kreativiti, persembahan, cita rasa dan nilai kesihatan. Peserta berjaya menggabungkan elemen makanan seimbang dengan persembahan yang menarik, menggunakan bahan segar serta kaedah masakan sihat seperti merebus, memanggang serta meminimumkan penggunaan minyak dan gula.
Majlis penutupan Program Healthy MasterChef Competition ini telah menyaksikan tempat pertama telah dimenangi oleh peserta daripada Kolej Pertanian Malaysia (KPM), diikuti oleh kakitangan STML di tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik pelajar SUKSIS. Sebagai penghargaan terhadap penyertaan yang cemerlang, dua kumpulan komuniti, iaitu Kumpulan AZWA dan Kumpulan Shahadah, turut menerima hadiah saguhati.
Penganjuran Program Healthy MasterChef Competition di bawah Program Green Carnival STML 2025 bukan sahaja mencungkil bakat kulinari dalam kalangan peserta, malah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, komuniti serta warga kampus dalam mempromosikan budaya pemakanan sihat. Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan sebagai program tahunan yang menyokong aspirasi UUM dalam membentuk masyarakat kampus yang holistik, sihat dan sejahtera. – Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh