Campus

HIMPU rai aktiviti inovasi penyelidik UUM

Gambar ICC

SINTOK, 29 Mei 2025: Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar telah melancarkan Tahun Syarikat Terbitan Universiti (STU) 2025-2026 dalam upacara penuh gemilang bersempena Hari Inovasi dan Penganugerahan Staf UUM (HIMPU).

Pelancaran tersebut disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar.

Dr. Mohd Shukor berkata, STU terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan penyelidikan dengan industri dan pasaran secara strategik, sejajar dengan misi UUM untuk menerajui pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat.

Pelancaran Tahun STU 2025–2026 menandakan langkah penting dalam memperkukuh agenda inovasi dan pengkomersialan UUM.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membina ekosistem yang menyokong penyelidikan berimpak tinggi serta penciptaan nilai. Ia juga menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan syarikat terbitan universiti sebagai pemacu utama dalam membawa hasil penyelidikan ke pasaran sebenar, sekali gus menggalakkan budaya tekno-keusahawanan berasaskan pengetahuan dalam kalangan warga UUM.

Dalam majlis tersebut, STU kedua UUM telah dilancarkan di mana Syarikat ODA Ventures Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Prof. Madya Dr. Shahrul Azmi Mohd Yusoff dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dilihat sebagai menyokong aktiviti Tahun STU 2025-2026.

Di samping itu, kejayaan pengkomersialan produk Smart Water Leakage juga diraikan, apabila wakil industri dari syarikat XOF Solutions Sdn. Bhd. hadir menyerahkan cek cura bernilai RM40,000 kepada UUM. Produk ini merupakan salah satu hasil penyelidik dari SOC terdiri daripada Ahmad Hanis Mohd Shabli, Dr. Nur Hani Zulkifli Abai, Dr. Mawarny Md Rejab dan Suwannit Chareen Chit A/L Sop Chit.

Dalam majlis yang sama, Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah menerima dua anugerah iaitu Anugerah Pereka Cipta dan Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan (Produk), manakala Dr. Maheera Mohamad juga dari STML telah menerima Anugerah Pereka Cipta Muda.

Penyerahan anugerah ini adalah sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan penyelidik dalam bidang inovasi dan pengkomersialan sepanjang tahun 2024. – Mohamad Lutfi Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button