Campus

I-Wealth dan Takaful Ikhlas bincang kerjasama strategik dalam Pengurusan Kekayaan Islam

Gambar Muhammad Nazmi Abdullah Thani

SINTOK, 21 Mei 2025: Satu pertemuan strategik telah berlangsung antara Islamic Wealth Management and Professional Institute (I-Wealth), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Takaful Ikhlas bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang latihan profesional dan pembangunan modul berkaitan pengurusan kekayaan Islam.

Pertemuan yang diadakan di IBS, Universiti Utara Malaysia itu melibatkan perbincangan antara Pengarah Institut I-Wealth, IBS, Dr. Mohd Fakhirin Che Majid, dan  Timbalan Pengarah I-Wealth, Dr. Badrul Hakimi Daud serta Penyelaras Sijil Profesional IFP Challenge Status and Full Fledge, Dr. Muhamad Abrar Bahaman dan Pengarah Akademi Takaful Ikhlas, Wan Mohamad Nazman Wan Mahmud serta Head of Recruitment, Takaful Ikhlas, Tuan Faizul Tuan Abdullah.

Dr. Mohd Fakhirin berkata, antara fokus utama perbincangan ialah pelaksanaan program latihan bersijil bagi agen dan kakitangan Takaful Ikhlas yang menekankan aspek pematuhan Syariah dalam perkhidmatan takaful dan pengurusan kewangan.

Turut dibincangkan ialah cadangan menganjurkan seminar dan webinar kesedaran kewangan Islam kepada masyarakat umum secara bersama.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja khas bagi membangunkan modul latihan yang relevan dengan keperluan semasa industri.

Draf Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka akan diadakan sebelum akhir bulan Jun ini sebagai langkah awal memeterai kerjasama rasmi.

Pertemuan ini dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkukuh ekosistem kewangan Islam di Malaysia, khususnya dalam aspek pendidikan, latihan dan pembangunan modal insan dalam industri takaful. – Harith Hilmi dan Muhammad Luqman Hakim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button