Inasis Proton edar sarapan pagi sempena hari pertama peperiksaan pelajar UUM
Gambar JKPSRS Inasis Proton
SINTOK, 7 Julai 2025: Sempena hari pertama peperiksaan semester Universiti Utara Malaysia (UUM), Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siwa (JKPSRS) Inapan Siswa (Inasis) Proton mengambil inisiatif menyantuni para pelajar dengan edaran sarapan pagi berupa roti dan air kotak.
Agihan dilakukan di kawasan menunggu bas Laluan A, berhadapan Inasis Proton, bermula seawal pagi bagi menyuntik semangat pelajar yang akan menduduki peperiksaan pertama mereka yang bermula semalam.
Turut hadir menyampaikan sarapan dan kata-kata semangat ialah Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, diiringi Penolong Pengetua, Abdul Hadi Aimran Abd Rahim serta tiga Ahli Majlis Tertinggi JKPS dan Residen Siswa.
Dr. Mohd Abidzar berkata, inisiatif ini bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi lebih besar daripada itu dengan menjadi manifestasi sokongan moral pihak pengurusan inapan terhadap pelajar.
“Kami ingin pelajar merasakan bahawa mereka tidak berjuang sendirian. Melalui agihan ini, kami dapat menyampaikan ucapan selamat berjaya dan kata-kata motivasi secara langsung kepada mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Inasis Proton merancang untuk meneruskan inisiatif ini sepanjang musim peperiksaan dengan anggaran edaran mencecah 500 roti dan kotak minuman untuk pelajar yang akan diuruskan pula oleh Biro Kesejahteraan, Kesihatan dan Keselamatan.
Inisiatif ini mendapat sambutan positif dalam kalangan pelajar, yang rata-rata kelihatan terharu dengan sokongan moral dan layanan mesra yang diberikan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. – Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin