INSPIRA25 serlahkan kreativiti pendidik muda dalam FESTIKA UUM
Gambar Nabil Zuhair Ahmad Zaidi
SINTOK, 1 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus unggul sebagai institusi pendidikan yang menjunjung aspirasi inovasi dan pembangunan sahsiah melalui penganjuran Festival Inovasi, Keusahawanan dan Aspirasi Kerjaya (FESTIKA 2025).
Program yang berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini telah menarik perhatian warga kampus dan komuniti pendidikan dari pelbagai negeri melalui pelbagai segmen menarik yang merangkumi pameran inovasi, keusahawanan pelajar dan program kesihatan.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Pendidikan (MPP SoE) dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) ini dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khari Othman.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa budaya inovasi perlu diterapkan secara berterusan dalam kalangan pendidik muda bagi menghasilkan pengajaran yang lebih kreatif, relevan dan berkesan.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar merangkap Pengerusi Program FESTIKA 2025, Prof Madya Dr. Mardzelah Makhsin berkata, program ini bukan sahaja mengasah daya cipta dan bakat kepimpinan pelajar, malah menjadi platform penting untuk menyemai nilai kolaboratif rentas disiplin dan peringkat pengajian.
Antara tumpuan utama program ialah pertandingan INSPIRA25: Pertandingan Inovasi Bahan Bantu Mengajar (BBM) Peringkat Kebangsaan, yang menghimpunkan pelbagai inovasi kreatif dari pelajar dan guru seluruh negara.
Penyertaan merentas negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan penerimaan yang positif terhadap inisiatif ini dalam memperkasa pendidikan berasaskan BBM.
Pelajar prasiswazah, pascasiswazah dan pensyarah UUM turut mempersembahkan projek inovatif yang berasaskan digital, modul gamifikasi, dan bahan sokongan PdP terkini. Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan budaya inovatif dalam kalangan warga universiti, malah memperkukuh jalinan kolaborasi antara pelbagai bidang dan tahap pengajian.
FESTIKA turut menonjolkan dimensi keusahawanan melalui penyertaan pelajar dalam aktiviti pameran dan jualan produk inovasi. Penyertaan ini bukan sahaja mencungkil kreativiti dalam membangunkan produk, malah menyediakan ruang praktikal untuk pelajar membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengurusan kewangan, pemasaran serta daya tahan sebagai usahawan muda. Usaha ini menyokong misi UUM dalam melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.
Dalam slot Aspirasi Kerjaya, pelbagai institusi pendidikan dan agensi telah membuka reruai informasi dan promosi kerjaya sebagai medium pendedahan awal kepada laluan kerjaya dan pendidikan tinggi. Antara institusi yang terlibat termasuklah Universiti Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kolej Matrikulasi Kedah, Albukhary International University (AIU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Cawangan Alor Setar, PERKESO, dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
Tidak ketinggalan, program kesihatan awam turut dijalankan, termasuk ceramah kesedaran dan pencegahan penyakit tuberkulosis (Tibi), kanser payudara dan serviks. Program ini dilihat sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan mahasiswa, di samping memupuk keprihatinan sosial terhadap kesejahteraan komuniti.
Secara keseluruhannya, INSPIRA25 dalam FESTIKA 2025 menjadi medan strategik yang menyatukan kekuatan pendidikan, inovasi, keusahawanan dan kesedaran sivik dalam satu ekosistem pembelajaran yang menyeluruh.
UUM terus memperkukuh peranan sebagai peneraju pendidikan progresif dalam usaha melahirkan pendidik muda yang berdaya cipta, berintegriti dan peka terhadap masyarakat. – Sritharan Agilan