Campus

IPIZ semarak gaya hidup sihat dan meriahkan Program Memasak Bubur Asyura

Gambar Ahmad Khalidi Abdul Halim

SINTOK, 16 Julai 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program riadah bulanan ‘Briskwalk Santai’ yang berlangsung dengan penuh semangat dan keceriaan.

Program dimulakan dengan sesi memanaskan badan yang dikendalikan oleh Ketua Program, Ahmad Khalidi Abdul Halim.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat peserta sebelum memulakan aktiviti berjalan santai.

Perjalanan briskwalk dimulakan dari perkarangan Kompleks Konvensyen UUM dan berakhir di kawasan tasik indah The Lake UUM, melibatkan penyertaan staf IPIZ yang mengambil peluang ini untuk menghirup udara segar sambil mengeratkan silaturrahim sesama rakan sekerja.

Selesai aktiviti berjalan kaki, peserta disajikan dengan aktiviti santai seperti piknik dan permainan papan (board games) antaranya Jengga dan Sahiba, yang mencetuskan suasana mesra dan santai dalam kalangan peserta.

Ahmad Khalidi berkata, program sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah mampu memberi kelegaan minda serta meningkatkan kesejahteraan emosi staf IPIZ.

“Program Briskwalk Santai ini memberi ruang kepada staf untuk berehat dari tugasan harian dan menyegarkan semula minda dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan,” katanya.

Terdahulu, sempena bulan Muharam, IPIZ turut menyertai Program Memasak Bubur Asyura yang berlangsung dengan penuh semangat muhibah di Dapur Memasak Masjid Sultan Badlishah, UUM.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama erat Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) disertai warga IPIZ dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) yang berganding bahu menjayakan aktiviti tradisi itu.

Persiapan awal dimulakan dengan aktiviti penyediaan bahan seperti memotong jagung dan lobak, membancuh tepung, serta memanaskan kawah besar yang menjadi nadi utama proses memasak bubur asyura.

Kesemua peserta turut mengambil bahagian secara bergilir-gilir mengacau bubur sehingga masak sepenuhnya, mencerminkan semangat gotong-royong dan kebersamaan antara jabatan.

Setelah siap dimasak, bubur asyura tersebut dimasukkan ke dalam bekas dan diagihkan kepada staf IBS dan IPIZ sebagai simbolik perkongsian rezeki dan ukhuwah dalam kalangan warga kampus.

Program ini membuktikan bahawa aktiviti berbentuk keagamaan dan kebudayaan mampu menjadi medium terbaik dalam membina perpaduan dan semangat kekitaan dalam komuniti universiti. – Azimah Ahmad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button