Campus

Jalinan Strategik UUM, PSMCK dan JPNK meriahkan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2025 Peringkat Negeri Kedah

Berita dan gambar Dr. Aszlan Selamat

SINTOK, 10 Julai 2025: Seramai 340 pelajar daripada 85 buah sekolah menengah seluruh negeri Kedah telah menyertai Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2025 Peringkat Negeri Kedah yang telah dilaksanakan secara dalam talian.

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) dan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pelaksanaan pertandingan secara digital ini turut mendapat sokongan teknikal daripada Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC) serta UUM Information Technology (UUMIT) melalui penggunaan platform pembelajaran terbuka MOOC.

Pengarah pertandingan, Dr. Haslinda Hasan berkata, pertandingan ini bertujuan memperkukuh pemahaman pelajar terhadap sejarah negeri dan negara, di samping menyemai semangat patriotisme dan jati diri kebangsaan.

Menurutnya, program ini juga memberi peluang kepada guru-guru sejarah untuk meneroka pendekatan baharu dalam pemupukan nilai kenegaraan dalam kalangan pelajar.

“Penganjuran ini merupakan satu usaha bersepadu dalam memartabatkan pendidikan sejarah secara interaktif dan bermakna.

“Pertandingan ini bukan sekadar ujian pengetahuan, tetapi juga sebuah platform kolaboratif antara universiti, sekolah dan agensi pendidikan negeri dalam memperkasa nilai cintakan tanah air dalam kalangan pelajar,”katanya.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PSMCK, Dr. Ibrahim Bakar; Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie; Pengarah UTLC, Prof. Madya Dr. Siti Noor Ismail dan wakil UUMIT, Yusmariani Mohd Yusof atas komitmen dan sokongan strategik dalam memastikan kelancaran pertandingan.

Kerjasama antara SLCP, JPNK dan PSMCK ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan institusi melalui program yang berfokuskan kepada pendidikan sejarah dan pembinaan negara bangsa.

Empat buah sekolah telah melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, Maktab Mahmud Alor Setar, SMJK Chio Min, dan SMK Kubor Panjang.

Peringkat akhir pertandingan dijadualkan berlangsung secara bersemuka pada 10 Julai 2025 bertempat di SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Reaksi positif yang diterima daripada para peserta menunjukkan bahawa pertandingan ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang mencabar dan bermanfaat. Bagi pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), program ini turut menjadi wadah pengukuhan ilmu serta persediaan menjelang peperiksaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button