Jendela Moral hubungkan budaya
Gambar Muhammad Syazwan Menon
SINTOK: Perbezaan budaya tidak menjadi halangan kepada pelajar untuk mengeratkan silaturahim bersama dalam program “Slot Kerohanian: Ceramah Moral” sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi ambilan pelajar baharu 2024/2025 di Dewan Tan Sri Othman, UUM.
Pusat Islam UUM berjaya menganjurkan “Slot Kerohanian: Ceramah Moral” ini dengan melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa semasa MSK A241 supaya budaya mengenali satu sama lain dan hormat menghormati sentiasa diamalkan di kampus UUM.
Sesi perkongsian dikendalikan oleh Purshotharan Nair R. Jayamadawan, pelajar UUM selaku moderator dan dua panel jemputan iaitu Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Dr. Ooi Chai Aun dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia (SMMTC), Dr. S Maartandan Suppiah.
Dr. Ooi berkata, program ini telah menjadi satu platform untuk mahasiswa dan mahasiswi UUM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali satu sama lain, membina jaringan sosial yang kukuh, dan meningkatkan rasa perpaduan dalam kalangan pelajar.
Slot ini turut membincangkan nilai-nilai universal seperti hormat, tanggungjawab, dan kejujuran, serta bagaimana nilai-nilai ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mahasiswa dan mahasiswi UUM.
Kata Dr. S Maartandan, penghayatan nilai moral dapat diaplikasikan melalui pendedahan nilai-nilai moral yang penting kepada mahasiswa dan mahasiswi agar dapat mengamalkan sikap positif dalam kehidupan seharian mereka.
Sementara itu, Purshotharan Nair berkata, program ini merupakan satu inisiatif yang penting dalam memperkukuhkan ikatan perpaduan di antara mahasiswa di UUM, sekali gus mengangkat nilai moral sebagai panduan hidup. – Muhammad Syazwan Menon