Campus

Jerayawara Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) tekan kolaborasi global

Gambar SBM

SINTOK, 5 Jun 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menerima kunjungan rasmi daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani, dalam sesi libat urus strategik yang berlangsung pada 19 Mei lalu.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri jerayawara beliau ke seluruh pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendengar secara terus aspirasi, cabaran dan inisiatif akademik semasa di peringkat pusat pengajian, selain memperkukuhkan jalinan kerjasama dalam mendokong agenda pengantarabangsaan universiti.

Dr. Shuhymee turut membentangkan profil pusat pengajian termasuk kekuatan akademik, inisiatif penyelidikan, dan pembangunan pelajar.

Beliau menyentuh beberapa isu pengurusan akademik, keperluan prasarana serta strategi melonjakkan pencapaian pelajar di peringkat global.

Dialog dua hala menjadi teras utama sesi ini apabila warga SBM, termasuk pensyarah dan staf pentadbiran, berpeluang mengutarakan pelbagai persoalan dan cadangan. Antara isu yang diketengahkan termasuklah strategi meningkatkan bilangan pelajar pascasiswazah antarabangsa, keperluan menambah baik kemudahan pengajaran dan pembelajaran (T&L), dan cadangan menjalin kerjasama baharu dengan universiti luar negara.

Prof. Dr. Mohd Azizuddin menegaskan bahawa pengantarabangsaan bukan sekadar bilangan pelajar asing, tetapi melibatkan pembudayaan pemikiran global dalam kurikulum, penyelidikan bersama, dan pemerkasaan jaringan industri antarabangsa.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Pusat Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar, yang berkongsi peluang dan mekanisme untuk memudah cara kolaborasi akademik global, termasuk mobiliti pelajar, pertukaran staf, dan kerjasama penyelidikan rentas negara.

Beliau turut menekankan bahawa CIAC bersedia menjadi penghubung strategik antara pusat pengajian dan rakan antarabangsa, justeru memudahkan pelaksanaan program antarabangsa yang lebih tersusun dan lestari.

Sesi diakhiri dengan harapan bersama agar SBM terus meneroka peluang global, memperluas capaian akademik dan penyelidikan, serta menjadi antara pencetus utama kepada kecemerlangan UUM di pentas dunia. – Azam Arni Mohd Noor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button