JSM beri taklimat cuti belajar tentang peraturan, prosedur dan implikasi perundangan
Berita dan gambar Roslina Abdullah
SINTOK, 17 Julai 2025: Unit Pengajian Lanjutan, Jabatan Sumber Manusia (JSM) telah mengadakan sesi taklimat yang memberi tumpuan kepada undang-undang dan peraturan cuti belajar kepada calon-calon program Doktor Falsafah (PhD) 2025.
Taklimat ini disampaikan oleh Penasihat Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed, dengan bantuan Pegawai Undang-Undang, Ahmad Syahmi Anuar Mahayudin serta Penolong Pendaftar, Amirah Mohamad daripada JSM yang fokus kepada peruntukan cuti.
Ketua Unit Pengajian Lanjutan, Roslina Abdullah berkata, objektif utama taklimat ini adalah untuk memastikan semua calon PhD yang terdiri daripada empat Tutor dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) iaitu Aiman Natasha Rosaidi, Anis Zaireen Fadzil, Intan Farhana Ramli dan Muhammad Zakin Haziq Mohamad memahami kandungan perjanjian yang telah ditandatangani serta risiko yang mungkin mereka hadapi sekiranya berlaku perlanggaran kontrak.
Menurutnya, taklimat ini bukan sahaja penting untuk memberikan kefahaman mendalam mengenai perjanjian tersebut, tetapi juga bertujuan untuk memotivasi calon-calon PhD agar menyiapkan pengajian mereka dalam tempoh cuti belajar yang telah ditetapkan dengan lancar.
“Taklimat ini berfungsi sebagai persediaan awal untuk mengelakkan sebarang isu perundangan yang mungkin timbul sepanjang tempoh pengajian.
“Selain itu, ia juga memberikan panduan mengenai hak dan tanggungjawab pelajar, memastikan bahawa setiap calon PhD dapat menguruskan pengajian mereka dengan baik, mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, serta mengelakkan sebarang komplikasi undang-undang yang boleh mengganggu perjalanan akademik mereka,” katanya.
Sepanjang sesi tersebut, pelbagai soalan telah diajukan kepada pegawai undang-undang, yang secara tidak langsung membuka mata para calon PhD untuk lebih cakna tentang peraturan dan undang-undang berkaitan.