Kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah terus dikenang melalui program Bicara Tokoh
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 29 Mei 2025: Program Bicara Tokoh Tun Abdullah Ahmad Badawi: Legasi Kepimpinan dan Wawasan, telah diadakan di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia, sebagai penghormatan kepada mantan Perdana Menteri kelima Malaysia yang telah meninggal dunia pada 14 April lalu.
Acara anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM, Akademi Profesor Malaysia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung itu bertujuan untuk memperingati sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah dalam pembangunan negara, khususnya dalam memperkenalkan konsep Islam Hadhari, memperkukuh institusi anti rasuah, dan mempromosikan kepimpinan berteraskan integriti dan kesederhanaan.
Program berjalan dalam bentuk forum, dengan panelisnya terdiri dari tokoh-tokoh yang pernah berkhidmat bersama Tun Abdullah, ahli akademik, serta wakil-wakil masyarakat sivil yang berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai kepimpinan dan legasi beliau.
Mereka adalah Dato’ Hj Jefridin Atan, Dato’ Othman Desa, dan Dr. Teoh Ai Hua bersama moderator, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM. Umumnya ahli-ahli panel menekankan sifat kepimpinan Allahyarham yang tenang, berprinsip, dan sentiasa mengutamakan perpaduan serta pembangunan insan.
Forum dimulakan dengan video tribute khas mengenai ketokohan Tun Abdullah yang dihasilkan oleh Unifilm Studio, UUM. Video yang amat menyentuh hati dan mengembalikan nostalgia semasa zaman kepimpinan Tun Abdullah digarap bagi membolehkan peserta program khususnya pelajar yang hadir mengenali dan menghayati sumbangan beliau dalam membangunkan negara.
Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai pemimpin yang membawa pendekatan sederhana dan inklusif dalam pentadbiran negara. Beliau memperkenalkan konsep Islam Hadhari yang menekankan pembangunan menyeluruh berasaskan prinsip Islam yang progresif.
Selain itu, beliau juga dikenali kerana usaha-usahanya dalam memperkukuh institusi antirasuah dan membuka ruang dialog dengan pelbagai pihak demi kemajuan negara.
Program “Bicara Tokoh” ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang membuka peluang kepada ramai peserta program untuk mengajukan soalan kepada barisan panel. Pelbagai ‘rahsia’ dan strategi kepimpinan Tun Abdullah dikongsikan oleh panel sebagai teladan. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin