Latihan Kesedaran Halal ketengahkan isu halal untuk kesedaran warga UUM
Gambar IHM, IBS
SINTOK, 4 Jun 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Latihan Kesedaran Halal 2025 khusus untuk warga UUM di Dewan Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, semalam.
Majlis dimulakan dengan tayangan video korporat IHM yang memaparkan peranan serta aktiviti IHM dalam menyokong ekosistem halal di peringkat universiti dan nasional.
Program diteruskan dengan sesi ceramah halal yang disampaikan oleh Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib.
Dalam sesi tersebut, beliau telah berkongsi mengenai konsep asas halal, prosedur pensijilan halal Malaysia, tanggungjawab individu terhadap pematuhan halal serta garis panduan pelaksanaan halal di di dalam industri halal.
Pelbagai contoh situasi dan cabaran semasa turut diketengahkan bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada peserta.
Dr. Noor Aina turut menekankan kepentingan pemahaman halal dalam kalangan warga kampus sebagai usaha bersama menjaga integriti halal di universiti.
Program ini diadakan sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh kesedaran halal dalam kalangan warga UUM serta menyokong dasar universiti ke arah kampus yang patuh syariah dan halal.
IHM berharap agar latihan seperti ini dapat diteruskan secara berkala untuk memastikan semua warga kampus sentiasa peka dan memahami keperluan halal dalam setiap urusan harian, terutamanya dalam aspek pemilihan produk atau perkhidmatan halal, pengendalian makanan, kebersihan premis, dan pematuhan prosedur halal yang ditetapkan. – Nurul Syahidah Muhamad Puzi