Latihan kesiapsiagaan bencana dan simulasi tindakan kecemasan bersama APM
Gambar Dr. Azizi Abas
SINTOK, 12 Jun 2025: Program Latihan dan Simulasi Pengurusan Bencana ini telah berjaya dianjurkan oleh Jawatankuasa Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKKP), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dengan kerjasama Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS) pada 10 Jun lalu.
Latihan ini dikendalikan oleh empat jurulatih berpengalaman daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), iaitu SJN(PA) Muhammad Amirul Rusli, KPL(PA) Norhasruddin Hassan, KPL(PA) Wan Eimmielia Yusni Md. Arub DAN PBT(PA) Mohd Syufrizal Ismail.
Sesi simulasi ini turut disertai oleh seramai 40 staf daripada UUM Property, di samping warga kerja SOC dan AHSGS UUM yang ingin meningkatkan kefahaman serta kecekapan menghadapi sebarang situasi kecemasan dan bencana yang tidak diundang.
Pegawai Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, UUM Property, Izmal Nizam Abdul Wahab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SOC kerana menganjurkan program ini.
Menurutnya, UUM Property turut mendapat manfaat besar daripada perkongsian ilmu dan pendedahan yang disampaikan oleh pihak APM, khususnya berkaitan langkah-langkah pengurusan bencana yang boleh diaplikasikan dalam persekitaran kerja harian.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada jurulatih APM yang telah berkongsi pelbagai tip keselamatan dan prosedur pengurusan kecemasan yang boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan serta kemalangan terhadap nyawa dan harta benda.
“Pendedahan ini turut merangkumi tindakan-tindakan penting yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas berlakunya sesuatu bencana,” katanya.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya meningkatkan tahap kesedaran warga kerja tentang aspek keselamatan di tempat kerja di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara UUM, UPSB dan APM dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, terancang dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. – Noor Aina Norrdin