Mahdzir Khalid kongsi tiga formula kejayaan
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 19 Jun 2025: Pelajar perlu tahu dengan jelas apa yang mereka kehendaki dalam kehidupan, sentiasa menimba pengetahuan dan maklumat serta sentiasa berdisiplin untuk mengekalkan moral diri.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Dato’ Seri Mahdzir Khalid, mengajak pelajar agar jelas dengan hala tuju kehidupan mereka dan sentiasa berusaha menimba ilmu untuk mencapai kejayaan.
Menurutnya, jangan sempitkan pengetahuan kepada subjek sekolah sahaja. Fahami dunia di sekeliling anda.
Beliau juga menekankan bahawa dunia hari ini memerlukan individu yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga cakna terhadap isu semasa dan cabaran global.
“Kejayaan memerlukan disiplin dan nilai moral yang kukuh. Bakat dan kepintaran semata-mata tidak mencukupi sekiranya tiada adab dan sikap hormat terhadap orang lain,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Inspirasi Varsiti Siri 2 Tahun 2025 di Dewan Serbaguna SAC, Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi,
Program Inspirasi Varsiti UUM 2025 berlangsung selama tiga hari di UUM melibatkan penyertaan seramai 120 pelajar daripada Kolej Sultan Abdul Hamid, SBP Integrasi Jitra, dan SMK Gulau, Sik itu bertujuan memperkasa jati diri dan membina aspirasi akademik dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program, khususnya kepada Dato’ Seri Mahdzir atas kesudian hadir walaupun dalam kesibukan tugasan rasmi.
Menurutnya, program ini amat signifikan dalam menyemai semangat kebersamaan dan menjadi wadah universiti untuk membimbing anak-anak Kedah ke arah kecemerlangan pendidikan.
Katanya, UUM juga sentiasa bersedia menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan kerjasama demi kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau turut menyeru agar pelajar memanfaatkan sepenuhnya program ini sebagai peluang menimba ilmu, mendapatkan inspirasi serta membina keyakinan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, Ahmad Martadha juga menekankan bahawa merit turut menjadi antara syarat penting dalam kemasukan ke universiti.
Program anjuran Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) UUM, mendapat kerjasama Inapan Siswa (Inasis) YAB dan Inasis Petronas.
Ia selari dengan amanat YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024, yang menggariskan kepentingan memperluas akses pendidikan tinggi.
Sepanjang program, pelajar dibawa mengikuti pelbagai aktiviti yang memberi pendedahan awal kepada kehidupan kampus dan suasana akademik universiti.
Program ini turut menjadi platform mencetuskan aspirasi serta menanam cita-cita tinggi dalam kalangan pelajar sekolah.
Siri Pertama Program Inspirasi Varsiti telah melibatkan pelajar dari SMK Tunku Sofiah, yang diadakan di Inasis Bank Islam dengan penyertaan seramai 80 pelajar. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)