Majlis Pelancaran Go Green EKSA UUM, Anugerah Sudut EKSA Terbaik dan Sudut Go Green Terbaik serlah komitmen terhadap kelestarian kampus
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 29 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap agenda kelestarian alam sekitar melalui penganjuran Majlis Pelancaran Go Green EKSA Peringkat UUM yang berlangsung di Dewan Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) Selasa lalu.
Majlis anjuran Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Sudut EKSA Terbaik kepada Zon Sintok dan Anugerah Sudut Go Green Terbaik kepada Zon Cengal yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan persekitaran kerja kondusif dan mesra alam.
Pengarah PPQA, Prof. Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, pelancaran Go Green EKSA merupakan inisiatif utama UUM yang selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) dengan memberi penekanan kepada pengurusan sisa, penjimatan tenaga, dan pemeliharaan alam sekitar. Usaha ini turut disokong penuh oleh PPQA sebagai penyelaras Jawatankuasa Induk EKSA universiti.
Sebagai simbolik pelancaran yang melibatkan tujuh zon EKSA iaitu Zon Akasia, Zon Tekoma, Zon Bougainvillea, Zon Sintok, Zon Meranti, Zon Cengal dan Zon Gajus telah menerima sepohon pokok bunga Jasmine yang melambangkan komitmen bersama dalam menghijaukan kampus.
Anugerah yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan, kreativiti dan inovasi zon-zon EKSA dalam membudayakan amalan Go Green dan EKSA secara bersepadu.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua-ketua zon EKSA, pegawai pengurusan universiti serta warga kampus yang menyokong usaha menjadikan UUM sebagai kampus hijau dalam pengurusan persekitaran kerja lestari. – Mohamad Hapisol Othman