Nurul Ashyiera Johan Tilawah Al-Quran UUM 2025
SINTOK, 25 Jun 2025: Keindahan lantunan kalamullah bergema indah di Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat UUM 2025 yang berlangsung dalam suasana penuh ketenangan.
Acara anjuran bersama Pusat Islam UUM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UUM), Kelab DAMAI, dan kelab-kelab kerohanian UUM ini menyaksikan penyertaan para pelajar dari pelbagai fakulti yang tampil menunjukkan bakat serta kecintaan mereka terhadap kitab suci al-Quran.
Kemuncak majlis menyaksikan Nurul Ashyiera Hisham berjaya menambat hati juri dengan persembahan yang mantap dan penuh penghayatan, sekali gus dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran UUM 2025.
Selain Johan, tempat kedua dimenangi oleh Azam Afif Shafie, manakala tempat ketiga diraih oleh Wan Nur Sharmime Syuhada Wan Ahmad.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, bakat tilawah dalam kalangan pelajar UUM amat besar potensinya.
“Mungkin ramai mahasiswa UUM yang berkebolehan dalam tilawah al-Quran ini, tetapi mereka malu untuk tampil ke hadapan,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan agar Pusat Islam UUM mempertimbangkan penubuhan sebuah Akademi al-Quran sebagai inisiatif jangka panjang.
“Kita juga sudah berbincang dengan Dato’ Sharifah Khasif tempoh hari untuk bekerjasama dalam mewujudkan akademi al-Quran di UUM bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah dalam kalangan pelajar,” tambahnya.
Selain pertandingan tilawah, majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk pencetak, fon kepala tanpa wayar, dan mini projektor.
Program ini menjadi platform penting dalam menyemarakkan budaya al-Quran dan membentuk sahsiah unggul dalam kalangan warga kampus, selari dengan moto UUM: Ilmu, Budi, Bakti. – Muhammad Hafizal Faiz