Pelajar SMK Bandar Baru Sintok teroka ilmu faraid dan takaful
Berita dan gambar Dr. Muhammad Abrar Bahaman
SINTOK, 2 Julai 2025: Seramai 40 pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok telah menyertai program ilmiah “Faraid & Takaful: Legasi Amanah Generasi Muda” anjuran pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan tajaan penuh daripada Dana STF.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang bertujuan memberikan pendedahan awal kepada golongan muda tentang kepentingan pengurusan harta pusaka (faraid) dan perlindungan kewangan keluarga (takaful).
Pengarah program, Muhammad Amirul Ashraf Sakarudin berkata, antara pengisian menarik sepanjang program termasuk taklimat interaktif, sesi ‘ice breaking’, permainan edukatif seperti Financial Tower Game dan Morse Code Game, serta sesi refleksi yang menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan berkumpulan.
“Saya berharap inisiatif ini mampu mencetus kesedaran awal dalam kalangan pelajar sekolah tentang pentingnya ilmu faraid dan takaful dalam merancang masa depan yang lebih sejahtera dan patuh syariah,” katanya.
Menurut salah seorang peserta, Nur Auni Sofiyah, “Saya baru tahu pentingnya ada perancangan harta sejak muda. Faraid bukan sekadar hukum, tapi juga jaga keadilan dalam keluarga.”
Rakannya, Ahmad Budi Elman, turut berkongsi rasa teruja: “Game tadi seronok sangat! Tapi dalam masa sama, kami belajar tentang nilai amanah dan tanggungjawab.”
Majlis disempurnakan oleh Pensyarah Subjek Seminar, Dr. Muhammad Abrar Bahaman serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta.