Pencarian Ikon K-DAT & Program Train Of Trainer (Tot) Kempen Internet Selamat (Kis) MCMC
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim
SINTOK, 4 Julai 2025: Seramai 40 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Train of Trainer (TOT) dan pencarian Ikon K-Digital Advocate Team (K-DAT) yang diadakan di EDC-UUM, baru-baru ini.
Program ini diadakan sempena lawatan rasmi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ke UUM, sekali gus memberi penghormatan kepada institusi ini sebagai rakan strategik dalam memperkasa literasi keselamatan siber.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), SOL, Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim berkata, program ini merupakan inisiatif utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Kempen Internet Selamat (KIS), yang bertujuan membentuk komuniti digital yang lebih celik keselamatan dan bertanggungjawab dalam penggunaan internet, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Kerjasama erat antara Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM dan MCMC telah merealisasikan penganjuran program ini.
Sepanjang program berlangsung, pelajar dilatih secara intensif oleh pegawai MCMC yang bertauliah untuk menjadi jurulatih rasmi Kempen Internet Selamat, berdasarkan modul penyampaian mengikut kategori umur dan kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.
Menurut wakil MCMC, inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pelajar dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang keselamatan siber, malah menyediakan platform kepada mereka untuk menjadi ejen perubahan dalam komuniti digital.
Peserta yang berjaya akan menerima Sijil Pentauliahan sebagai Jurulatih KIS, manakala lima pelajar terpilih akan dinobatkan sebagai Ikon K-DAT UUM, yang akan mewakili universiti dalam pelbagai program advokasi digital anjuran MCMC di peringkat nasional.
Program ini turut memberi nilai tambah kepada pelajar dari segi pengiktirafan profesional, peningkatan soft skills serta pembinaan jaringan bersama agensi kerajaan.
Lawatan Menteri Komunikasi ke program ini turut menzahirkan simbolik kepada komitmen berterusan kerajaan dalam merakyatkan keselamatan digital, selari dengan matlamat Malaysia sebagai negara digital maju dan beretika.